Pasar raya kenakan syarat RM20 beli minyak peket subsidi
PARIT - Sebuah pasar raya di Seri Iskandar dekat sini dikenakan tindakan selepas didapati meletakkan syarat pembelian bagi minyak masak peket satu kilogram bersubsidi.
Tindakan premis itu terbongkar menerusi Op Samar yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada Rabu hasil aduan orang ramai.
Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, siasatan mendapati, pasar raya terbabit memaksa pembeli berbelanja barangan lain bernilai RM20 sebelum dapat membeli minyak masak peket.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi mengaut keuntungan kepada pasar raya memandangkan minyak masak peket satu kilogram merupakan keperluan semasa.
"Semasa pemeriksaan, penguat kuasa yang menyamar sebagai pembeli telah melakukan dua kali uji beli. Bagi uji pertama, pekerja memberitahu bekalan minyak masak tiada di pasar raya tersebut.
"Uji beli kali kedua dilakukan dengan membeli barangan bernilai RM15 dan mendapati, pekerja di situ membenarkan pembelian satu peket minyak masak. Pekerja memaklumkan perlu membeli barangan lain bernilai lebih RM20," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, terdapat 32 peket minyak masak satu kilogram bersubsidi tersimpan dalam stor premis berkenaan.
Katanya, premis itu memiliki lesen runcit barang kawalan (CSA) gula, minyak masak dan tepung yang masih sah.
"Satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 diberikan kepada pemilik premis.
"Sitaan turut dilakukan ke atas semua minyak masak peket yang ditemui bernilai RM80," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!