Roselpreneur bantu OKU jana pendapatan

Projek tanaman rosel diusahakan. Foto UMT
Projek tanaman rosel diusahakan. Foto UMT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya membantu 100 Orang Kurang Upaya (OKU) (Pendengaran) bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka menerusi projek tanaman rosel dikenali sebagai Roselpreneur.

Ketua Projek Roselpreneur, Profesor Madya Ts Dr Wan Zaliha Wan Sembok menyatakan projek itu dijangka mampu memberi pulangan sehingga RM1,000 sebulan.

Menurutnya, projek tanaman rosel seluas 2.03 hektar di Batu Buruk itu diusahakan sejak September tahun lalu dengan permulaan 100 peserta.

"Kita perkenalkan projek tanaman rosel melalui program pemindahan ilmu serta mengadakan siri latihan melalui kelas dan juga amali di lapangan.

"Projek Roselprenuer ini melibatkan hampir 100 orang ahli daripada komuniti OKU pekak termasuk isi rumah.

Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya membantu 100 Orang Kurang Upaya (OKU) (Pendengaran) bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka. Foto UMT
Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya membantu 100 Orang Kurang Upaya (OKU) (Pendengaran) bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka. Foto UMT

"Jika projek tersebut mencapai sasaran yang digariskan, kita sedia kembangkan kepada semua ahli OKU pekak yang berdaftar di negeri Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Zaliha berkata, projek tersebut dapat membantu golongan OKU pendengaran melalui ilmu dan teknologi dalam bidang pertanian yang sangat luas selain ia mudah untuk diaplikasikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, latihan yang diberi bermula dengan langkah pertama iaitu penyediaan tapak, semaian, penjagaan tanaman, tuaian dan penghasilan produk hiliran seperti jus, jem dan aiskrim rosel.

Tambahnya, projek Roselpreneur itu adalah di bawah tajaan dana Yayasan Inovasi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dijangka dapat memberi pulangan kira-kira RM1,000 sebulan.

Dalam pada itu, Wan Zaliha berkata, projek itu mula diperkenalkan kepada ahli persatuan OKU pekak pada September 2023.

Katanya, pemilihan padanan peserta OKU berkenaan juga berdasarkan kemampuan mereka kerana ia mudah dilaksanakan dengan kos rendah.

"Program berbentuk pemindahan ilmu kepada komuniti itu telah dilaksanakan sejak lebih lima tahun lalu melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang seperti komuniti asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40.

"Antara projek lain yang pernah dibuat ialah penghasilan baja, projek penanaman Melon Manis Terengganu, penanaman sayuran berbuah seperti tomato ceri, bendi, cili, timun batang serta penanaman pelbagai jenis sawi termasuk strawberi tanah rendah," ujarnya.

Selain itu, Wan Zaliha menyatakan OKU Pekak tersebut juga mampu berdikari melalui projek pertanian bandar atau Kebuniti Madani yang telah membuahkan hasil lumayan.

"Jadi kita berharap program pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti seperti ini mampu memberi suntikan semangat.

"Malah ia memberi harapan baharu pada kumpulan sasar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan serta mengubah kualiti kehidupan ke tahap lebih baik," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!