Usikan TMJ pada Joe Flizzow undang deraian ketawa
UMUM sudah mengetahui hubungan baik antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan penyanyi rap popular, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak.
Baru-baru ini, Joe antara tetamu istimewa yang berpeluang meraikan lebaran bersama Tunku Ismail dan momen tersebut turut dikongsikan bintang berusia 44 tahun itu menerusi Instagramnya berserta kapsyen: "Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kosong-kosong Tuanku @hrhcrownprinceofjohor."
Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian adalah jawapan balas yang ditinggalkan TMJ pada ruangan komen hantaran itu.
"Tahun depan jangan keluar negara bila puasa. Takkan memanjang musafir."
Komen tersebut telah mengundang deraian ketawa kerana pada awal Ramadan lalu, TMJ sempat mengusik Joe yang berkongsi gambar menjinjing beg di sebuah lokasi di luar negara.
"Takkan setiap tahun bulan puasa kau cabut luar negara pasal tak nak puasa," tulis Tunku Ismail ringkas.
Rata-rata yang mengikuti rapat penyanyi yang baru sahaja tampil dengan single Berlian itu turut berkongsi rasa terhibur membaca usikan TMJ.
"Mesti viral balik kalau TMJ gurau Joe, asal raya je ke luar negara," tulis seorang pengguna.
"Aku suka TMJ komen brader (Joe). Kelakar dua-dua. Apa pun Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin," tambah pengikut Instagram Joe.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!