Jumpa budak tepi jalan, hampir dilanggar kereta
MARAN - Juruteknik komputer Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menemui seorang kanak-kanak lelaki di tepi jalan Maran-Jengka dekat Kuala Sentul di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi itu, Muhamad Zamri Mohamed Norpiah, 42, bersama rakannya, Shaiful Ehsan, 34 dalam perjalanan ke tempat kerja dari Kuantan ke Bandar Pusat Jengka di sini.
"Kami ternampak kanak-kanak itu sedang melintas jalan dan nyaris dilanggar sebuah kereta lain di hadapan kami.
"Risau dengan keselamatannya, kami segera berhenti dan membawa kanak-kanak itu ke kawasan selamat dan bertanyakan nama, lokasi rumah namun tidak dapat dijawab dan dipercayai kanak-kanak ini istimewa berdasarkan perilakunya.
"Kami menunggu juga hampir 20 minit jika ada ibu bapanya yang muncul selain tanya pada penduduk kampung Orang Asli berhampiran jalan itu namun semuanya tidak mengenali kanak-kanak tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujarnya, kanak-kanak itu kemudiannya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk tindakan selanjutnya.
Video penemuan kanak-kanak itu tular di media sosial dan mendapat pujian netizen yang menyifatkan kanak-kanak itu selamat dan bernasib baik ditemui orang baik.
Dalam perkongsian video tersebut, ada netizen memberitahu kanak-kanak itu telah diambil oleh ibunya di balai polis terbabit.
Jelas Muhamad Zamri, ketika itu mereka risaukan dengan keselamatan kanak-kanak terbabit dan lega jika telah menemui ibunya.
"Jika benar ibu bapanya sudah menemuinya, syukur kerana kalau ikutkan rasa pelik juga bagaimana kanak-kanak itu berada di laluan tersebut, kawasan terbabit sunyi dan agak jauh," tambahnya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!