Letusan Gunung Ruang paksa penutupan Lapangan Terbang Sam Ratulangi di Manado
JAKARTA - Letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro, Sulawesi Utara, telah menyebabkan penutupan sementara Lapangan Terbang Sam Ratulangi di Manado, kira-kira 100 kilometer dari sini, disebabkan aspek keselamatan.
Lapangan terbang itu akan ditutup sehingga diberitahu kelak selepas abu gunung berapi dikesan semasa pemerhatian lapangan dan ujian kertas yang dijalankan pada jam 7 pagi waktu Indonesia Tengah.
"Kami memohon maaf atas kelewatan pelepasan penumpang, ini adalah kejadian semula jadi di luar kawalan kami," kata Maya Damayanti, pengurus besar lapangan terbang itu, seperti yang dipetik oleh agensi berita Indonesia Antara.
Penerbangan dari Manado ke Jakarta, Makassar dan Sorong, serta ketibaan dari China dan Ternate, kini mengalami kelewatan.
Pusat vulkanologi negara, PVMBG menaikkan status Gunung Ruang kepada Tahap IV atau 'Amaran', pada Rabu jam 9 pagi sebagai tindak balas kepada peningkatan aktiviti gunung berapi sejak awal bulan.
Penduduk berhampiran Gunung Ruang telah diminta keluar dari kawasan dalam radius enam kilometer dari pusat kawah aktif gunung berapi itu.
Pada 16 April pukul 9.45 malam, letusan letupan berlaku dengan ketinggian dianggarkan 2,000 meter dari puncak, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).
Jurucakapnya, Abdul Muhari menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa keadaan bertambah buruk, dengan abu mencecah 2,500 meter pada 17 April pukul 1.08 pagi.
Satu lagi letusan letupan berlaku pada 9.15 malam, dengan abu mencecah kira-kira 3,000 meter, disertai bunyi gemuruh dan gegaran.
Laporan daripada Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Sitaro menunjukkan bahawa letusan itu menyebabkan abu serta batu dan kerikil, sampai ke penempatan pantai di Tagulandang.
"Beberapa penduduk cedera akibat letusan ini dan telah menerima rawatan rapi," kata Abdul Muhari.
Sekurang-kurangnya 828 penduduk termasuk 506 dari kampung Laingpatehi dan 322 dari kampung Pumpente, telah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat, katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!