UUM bukukan bahasa Orang Asli Kensui
BALING - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan 'membukukan' bahasa orang asli suku Kensui bagi memastikan perkataan dan frasa asal dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan berkata, warisan itu perlu diperlihara berikutan jumlah penuturnya hanya seramai 332 orang dan berisiko mengalami kepupusan.
"Pihak UUM ada jabatan sejarah dan juga pusat representasi di perpustakaan jadi kita akan ambik inisiatif untuk mendokumentasikan apa yang dicadangkan Tok Batin, Razali Kulim.
"Saya rasa ini langkah pertama dan kita cuba untuk membantu mereka supaya perkataan itu dapat dibukukan dan simpan sebagai warisan," katanya ketika ditemui selepas menerima tesis kajian suku Kensui daripada Razali di Kampung Lubuk Legong di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya dan Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu.
Sementara itu, Mohd Foad berkata, UUM bangga kerana dipilih untuk menyimpan tesis berkenaan kerana ia menjadi perhatian pelbagai pihak untuk memperolehinya.
Jelasnya, hasil kajian orang asli suku Kensiu dilakukan oleh Profesor Nagata yang berasal dari Osaka, Jepun 40 tahun lalu yang merupakan seorang pengkaji etnik dan suku kaum.
“Beliau ketika itu merupakan pensyarah di Universiti Penyelidikan Toronto, Kanada dan selepas melakukan kajian pada tahun 70an, Profesor Nagata telah pulang ke Jepun dan meninggal dunia pada usia 80-an.
“Pada Disember tahun lalu, Profesor Dr Nobuta Toshihiro yang merupakan seorang pakar kajian di National Museum Atnhology Suika, Osaka, Jepun telah datang ke Kedah untuk menyampaikan hasil tesis kajian etnik Kensiu kepada Tok Batin Razali mewakili orang asli Kensiu,"katanya.
Mohd Foad berkata, naskah tesis itu akan disimpan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM selaras dengan hasrat universiti untuk menjadi pusat rujukan global.
"Ia diharap akan menjadi perintis dalam kajian lanjutan mengenai etnik, sejarah, pentafsiran dokumen dan rekod-rekod baharu agar elemen sejarahnya segar bugar meniti zaman seterusnya menjadi rujukan kepada pelajar, pengkaji dan orang ramai yang berkunjung ke PSB," katanya.
Berdasarkan rekod, Orang Asli dari suku Kensiu yang tergolong dalam puak Negrito yang terdapat di Kedah merupakan kelompok orang Asli terkecil dan tertua di Semenanjung Malaysia.
Rekod di Pejabat Daerah Baling menunjukkan suku Kensiu mula menetap di perkampungan ini pada 1952 dan kini seramai 84 keluarga tinggal Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!