Lebih 2,000 penumpang di Tawau terjejas ekoran penerbangan dibatalkan

Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama
A
A
A

TAWAU - Lebih 2,000 penumpang dianggarkan terjejas ekoran beberapa penerbangan dari Lapangan Terbang Tawau dibatalkan susulan kejadian letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia semalam.

Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Rehan Dhafiq Azizan berkata, terdapat penerbangan Airasia dan Malaysia Airlines dari Tawau dibatalkan, manakala penerbangan Firefly ditangguhkan setakat ini selain status 'on hold' bagi penerbangan Malindo.

"Jadual penerbangan memang ada dibatalkan, kita minta penumpang periksa dahulu status penerbangan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita di lapangan terbang itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, ketika ini keadaan di Lapangan Terbang Tawau tetap sibuk dan dipenuhi penumpang terkandas yang cuba mencari alternatif penerbangan gantian atau pertukaran masa serta tarikh baharu.

"Kita masih buka kaunter pendaftaran masuk untuk memudahkan urusan penumpang yang mahu mengganti tarikh atau masa penerbangan baharu kerana kita tidak mahu mereka bersesak di kaunter syarikat penerbangan masing-masing kerana keadaan terhad," katanya.

Mengenai penerbangan untuk esok, beliau berkata, setakat ini seperti dijadualkan bagaimanapun perkara itu bergantung kepada perkembangan situasi dari masa ke masa yang akan dimaklumkan Jabatan Meterologi Malaysia.

Sementara itu, tinjauan di Lapangan Terbang Tawau mendapati rata-rata penumpang yang terkandas berharap syarikat penerbangan membuka kaunter pertanyaan yang lebih mesra pelanggan bagi memudahkan urusan.

Bagi Prof Madya Dr Mohd Hanif Hassan pembukaan kaunter itu dapat memudahkan penumpang mendapat maklumat dengan lebih terperinci dan bukan hanya bergantung daripada makluman melalui e-mel atau panggilan telefon.

Artikel Berkaitan:

"Letak satu hotline di kaunter, kadang-kadang penumpang hanya nak tahu info bukan semata-mata mahu ubah jadual penerbangan, duduk di kaunter terangkan apa pelanggan mahu.

"Sekurangnya penumpang jelas apa yang berlaku sama ada perlu tunggu atau boleh balik berehat," katanya yang sepatutnya berlepas dari Tawau ke Kota Kinabalu bersama keluarga pada jam 7.30 pagi tadi.

Seorang lagi penumpang, Fong Len Fui turut berharap perkara sama agar syarikat penerbangan lebih pantas menangani isu pelanggan yang masih tidak mengetahui status penerbangan mereka.

"Sepatutnya apabila masalah berlaku begini, syarikat penerbangan perlu buka kaunter dan jelaskan kepada penumpang sebab ramai yang menunggu tidak tahu apa masalah.

"Tak kan lah harap mereka (penumpang) berbaris empat hingga ke lima jam untuk menunggu makluman," katanya lagi yang sepatutnya berlepas ke Kota Kinabalu bagi menghadiri program hari ini.

Di SANDAKAN, tinjauan Bernama mendapati situasi sama berlaku di Lapangan Terbang Sandakan apabila terdapat penumpang terkandas di lapangan terbang itu berikutan pembatalan penerbangan termasuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!