Andalusia lakar satu lagi sejarah, meterai MoU bersama Saudi Airlines
KUALA LUMPUR - Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) pada Khamis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Saudi Airlines (Saudia) bagi pembelian 70,000 tiket penerbangan dengan nilai kontrak hampir RM230 juta bagi tahun 2024-2025.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, MoU tersebut merupakan satu bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada para jemaah menunaikan umrah antara Julai tahun ini hingga Mei tahun depan.
“Hari ini (Khamis) Andalusia melakar satu lagi sejarah kejayaan peribadinya dengan menandatangani MoU bersama Saudi Airlines.
“Alhamdulillah pagi ini, Andalusia telah menjual lebih 11,300 pakej umrah bagi tahun ini dan melalui suntikan semangat hasil MoU ini, pastinya akan menggerakkan seluruh jentera Andulusia bagi membuka jalan kepada lebih ramai umat Islam mengerjakan umrah,” katanya pada majlis pemeteraian MoU di antara Andalusia dan Saudi Airlines di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Ida Riswana mewakili Andalusia manakala Saudi Airlines pula diwakili Pengurus Kanan, Saudi Airlines Malaysia, Che Zakiah Ahmad.
Sejajar dengan itu, Ida berkata, pihaknya komited untuk menambah baik mutu kepada jemaah yang akan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka.
“Dari sudut pembangunan masyarakat Islam, mengerjakan umrah dan haji ini jelas membawa kelebihan dari sudut penambahan keimanan dan pembinaan jati diri umat Islam dalam kehidupan seharian.
“Susulan itu kami akan memberi perkhidmatan terbaik kepada umrah Andalusia yang dianggarkan akan bertambah sehingga 80,000 orang setahun pada musim 1446 hijrah nanti,” katanya.
Sementara menyentuh berhubung kegusaran para jemaah mengenai perkembangan konflik Iran-Israel, Ida berkata, orang ramai yang terlibat menggunakan perkhidmatan mereka tidak perlu bimbang.
Ini kerana tegasnya, sehingga saat ini tiada pembatalan pakej-pakej umrah pada tahun ini.
“Bahkan pada setiap hari, hampir 800 orang jemaah Andalusia berada di Makkah dan Madinah buat masa ini.
“Selain saban hari, ramai yang telah mula merancang untuk mengerjakan umrah tahun ini yang mana pakej Andalusia bakal bermula pada 11 Julai 2024,” katanya.
Bagiamanapun katanya, berhadapan dengan perkembangan ini, pihaknya akan sentiasa memantau dan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menjaga keselamatan semuah jemaah.
“Bagi jemaah yang sudah berada di Saudi, pihak andalusia juga senantiasa melaporkan situasi jemaah kepada pihak kedutaan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!