Pulau Pinang belum buat keputusan cadangan terowong dasar laut
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang masih belum membuat keputusan berhubung cadangan projek terowong dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di Seberang Perai.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri masih perlu menunggu cadangan daripada Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang mengenai projek itu.
“Kita telah menunggu selama lebih setahun untuk Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memuktamadkan dan meluluskan melalui mengenai Pelan Induk Pembangunan SPPP 30 tahun (2023-2053).
"Exco kerajaan negeri baru sahaja diberi taklimat oleh SPPP mengenai pelan induk berkenaan.
"Jadi sekarang, selepas pelan itu diluluskan, sama ada terowong itu akan diteruskan, jajarannya akan diubah atau akan dipindahkan, kita akan menunggu cadangan daripada Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Khamis.
Kon Yeow menambah, Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang yang diketuai oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari akan meneliti Pelan Induk Pembangunan SPPP sebelum membuat cadangan.
"Terowong dasar laut yang dicadangkan telah ditangguhkan sementara menunggu kajian kebolehlaksanaannya dimuktamadkan. Kajian itu tidak dapat dimuktamadkan kerana masih menunggu penyediaan dan kelulusan pelan induk berkenaan.
“SPPP baru-baru ini membentangkan pelan induk pembangunan dan ia melibatkan pembesaran kemudahan pelabuhan yang mungkin menjejaskan sebahagian daripada terowong dasar laut.
“Sebagai pemilik projek terowong dasar laut, kerajaan negeri akan membuat keputusan muktamad mengenai projek itu selepas mendengar cadangan daripada jawatankuasa pemandu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pelan Induk Pembangunan SPPP telah diluluskan oleh Lembaga SPPP baru-baru ini.
Bagaimanapun, cadangan pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di bawah pelan induk itu dilaporkan akan melibatkan lokasi cadangan sedia ada untuk pembinaan terowong dasar laut.
Projek terowong dasar sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Terowong dasar laut itu adalah sebahagian daripada pakej projek bernilai RM6.3 bilion.
Ia dicadangkan sebagai penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!