Kento Momota umum bersara di usia 29 tahun
JUARA dunia dua kali, Kento Momota mengumumkan persaraan daripada sukan badminton antarabangsa pada usia 29 tahun.
Momota pernah menjadi raja badminton apabila memenangi 11 kejuaraan pada 2019 dan hanya tewas enam daripada 73 perlawanan pada tahun itu.
Namun, pada Januari 2020 kenderaan yang membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam kemalangan beberapa jam selepas dia memenangi kejohanan Malaysia Masters.
Pemandu yang membawanya terbunuh dan Momota memerlukan pembedahan untuk memulihkan kecederaan matanya selepas kemalangan itu.
Apabila dia kembali selepas setahun, Momota mengalami penglihatan berganda dan gagal untuk mendapatkan semula prestasi cemerlangnya.
"Pada masa kemalangan itu, saya berbohong jika saya berkata saya tidak terfikir, 'Kenapa saya? " kata Momota kepada pemberita di Tokyo pada Khamis.
Momota akan bersara daripada pasukan kebangsaan Jepun selepas beraksi di Piala Thomas di China hujung bulan ini.
Selepas itu dia hanya akan bermain dalam pertandingan domestik di Jepun dan bukannya dalam Jelajah Dunia badminton.
"Terdapat banyak masa sukar selepas kemalangan jalan raya itu," tambah Momota.
“Saya cuba kembali kepada cara saya bermain, tetapi terdapat jurang antara perasaan dan badan saya.
"Ia berterusan dan saya tahu saya tidak akan dapat kembali ke tahap dahulu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!