Iran siap sedia 'senjata baharu' bedil Israel

Trak tentera Iran yang membawa dron Arash ketika perarakan tentera sebagai sebahagian daripada upacara menandakan hari tentera tahunan negara itu di Teheran pada Rabu. - Foto AFP
Trak tentera Iran yang membawa dron Arash ketika perarakan tentera sebagai sebahagian daripada upacara menandakan hari tentera tahunan negara itu di Teheran pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Iran memberi amaran keras bahawa tenteranya akan menggunakan senjata yang tidak pernah digunakan sebelum ini ke atas Israel sekiranya negara itu melakukan serangan balas terhadap Teheran.

Kenyataan balas itu dibuat semasa rejim Zionis mempertimbangkan untuk menyerang semula Iran selepas Teheran melancarkan 300 dron ke wilayah Israel baru-baru ini.

"Jika Israel bertindak balas, tindak balas kami seterusnya adalah dengan segera, lebih kuat dan lebih meluas menerusi 'senjata rahsia kami'," kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian ketika bercakap dengan Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Cameron.

Jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Iran, pula berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata sama ke atas Israel.

"Kami akan menghadapi sebarang pencerobohan Israel dan bertindak balas terhadapnya. Kami sedia menggunakan senjata terbaru yang kami tidak pernah gunakan sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk membalas terhadap serangan itu dan mendorong dunia serta sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS) menggesa sekatan terhadap Iran dengan alasan serangan itu akan menyebabkan konflik meluas di Asia Tengah.

Penyiar awam Israel, Kan melaporkan bahawa selepas Netanyahu berbincang dengan Presiden AS, Joe Biden, beliau memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan yang diatur sebelumnya itu.

"Sensitiviti diplomatik berlaku," kata seorang pegawai kanan Israel yang enggan mana disiarkan kepada Kan sambil menambah terdapat 'maklum balas' baharu, tetapi ia berbeza daripada perkara yang dirancang pada awalnya.

Artikel Berkaitan:

Iran melancarkan kira-kira 300 peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada hujung minggu lalu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas serangan udara di bangunan kedutaannya di Damsyik, Syria pada 1 April yang mengorbankan 12 orang, termasuk dua jeneral Iran.

Israel, dengan bantuan dari AS, United Kingdom, negara jiran Jordan dan negara lain, berjaya memintas hampir semua peluru berpandu dan dron. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!