Indonesia keluarkan amaran tsunami susulan letusan Gunung Ruang
JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tsunami selepas Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus lima kali dan menghamburkan abu setinggi lebih 1 kilometer ke udara.
Menurut agensi vulkanologi Indonesia, Gunung Ruang meletus buat kali pertama jam 9.45 malam (waktu tempatan) pada Selasa disusuli empat letusan lain pada Rabu.
Beberapa pegawai berkata, mereka bimbang sebahagian daripada gunung berapi itu mungkin runtuh ke dalam laut dan menyebabkan tsunami seperti yang berlaku pada 1871.
Pulau Tagulandang di perairan timur laut Gunung Ruang sekali lagi berdepan risiko dilanda tsunami, sehingga memaksa penduduknya berpindah.
Tahap amaran untuk gunung berapi itu setinggi 725 meter di atas paras laut itu ditingkatkan daripada tiga kepada empat semalam sekali gus tertinggi dalam sistem amaran bencana empat peringkat.
“Berdasarkan visual dan bacaan yang menunjukkan peningkatan dalam aktiviti gunung berapi, paras amaran Gunung Ruang dinaikkan daripada tahap tiga kepada tahap empat,” kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Hendra Gunawan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa bergegas untuk memindahkan 11,000 penduduk dari kawasan berhampiran termasuk pulau terpencil Tagulandang yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.
"Malam tadi (Rabu), orang ramai berpindah sendiri tetapi tiada arah tuju akibat letusan gunung berapi dan bahan-bahan berupa batu-batu kecil, jadi orang ramai berselerak mencari laluan pemindahan," kata seorang pegawai, Jandry Paendong.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!