Umpama berpuasa selama setahun
Rebut pahala berganda sempurnakan puasa Ramadan, diikuti puasa sunat enam hari bulan Syawal
NIAT dalam hati ingin menunaikan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal ini. Namun hari demi hari, ada sahaja rintangan menyebabkan nawaitu tadi terbantut.
“Ada jamuan raya di pejabatlah. Jiran-jiran pun datang jemput rumah terbuka mereka. Bagaimana mahu puasa?”
Itu satu hal, belum lagi datangnya cabaran lain. Saat dapat berpuasa, ketika itu jugalah ‘datang bulan’ atau diuji dengan masalah kesihatan.
Tanpa disedari, waktu semakin singkat hinggakan apabila kita mula berpuasa, bulan Syawal pula menutup tirainya.
“Alamak, baru dapat empat hari puasa enam, tapi esok Syawal sudah habis. Boleh ke saya sambung lagi dua hari dalam bulan Zulkaedah?”
Demikianlah antara kekangan tipikal yang dihadapi setiap orang. Walaupun ia hanyalah puasa sunat, tetapi umat Islam sangat digalakkan untuk melakukannya.
Mengapa kita disarankan untuk mengerjakannya? Bagaimana tip untuk menghadapi hambatan sebagaimana dinyatakan?
Imbalan berganda
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal bukan sekadar anjuran kepada Muslim semata-mata.
Bahkan katanya, ALLAH SWT menjanjikan imbalan bukan calang-calang buat yang mengerjakannya.
Bayangkan, mereka yang menyempurnakan puasa Ramadan, diiringi dengan enam hari puasa pada bulan Syawal memperoleh ganjaran pahala seumpama berpuasa selama setahun!
Ia sebagaimana sabda Rasululullah SAW: “Sesiapa yang puasa Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)
Merujuk kepada hadis berkenaan, jelas Siti Fatahiyah, umat Islam wajib berpuasa sebulan sepanjang Ramadan kecuali mereka yang dibenarkan berbuka mengikut syarak (tetapi perlu digantikan sebelum tibanya Ramadan akan datang).
“Kemudian pada bulan Syawal pula, disunatkan kita untuk berpuasa enam hari bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan.
“Namun ingatlah, jangan pula kita tidak berpuasa dengan sempurna pada bulan Ramadan, tetapi sibuk mengejar pahala puasa enam Syawal,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Dalam kitab Syarh an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, Imam An-Nawawi menyatakan, fadilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah bersandarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang lain di mana ia menyebut bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda.
Ini bermakna, selama 30 hari kita berpuasa sepanjang Ramadan, ditambah lagi enam hari dalam bulan Syawal apabila digandakan dengan 10 kebaikan, ia bersamaan dengan 360 hari (mengikut kiraan tahun hijriah), yang mewakili setahun.
Berselang atau berturutan
Mengulas lanjut tentang puasa sunat enam, Siti Fatahiyah yang juga perunding motivasi wanita dan kekeluargaan menjelaskan, ia tidak semestinya dikerjakan secara berturutan hingga selesai.
Sebaliknya, ia boleh dilaksanakan secara berselang-seli dalam bulan Syawal.
“Namun begitu, berpuasa enam hari secara berturut-turut dalam bulan Syawal sebenarnya lebih afdal dilakukan.
“Sekiranya kita sihat dan dapat berpuasa awal pada permulaan Aidilfitri, lebih elok jika dilakukan segera. Bimbang pula andai dilewatkan, dikhuatiri kita tidak kuat dan tidak sempat menyempurnakan puasa sunat enam tersebut,” katanya.
Bagi mereka yang mempunyai baki hutang puasa Ramadan tempoh hari atas sebab keuzuran dibenarkan oleh syarak termasuk kaum Hawa yang mengalami uzur syarie, ujar ahli akademik itu, mereka dibolehkan untuk berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal.
Atur masa
Tidak kiralah sama ada dilakukan secara berasingan dengan mendahulukan puasa sunat, diikuti yang ganti ataupun menggabungkan kedua-dua qada puasa dan puasa enam sekali gus, terangnya.
“Ya, mengasingkan kedua-dua puasa berkenaan sebenarnya adalah lebih afdal. Bagaimanapun, bagi wanita yang mahu berbuat demikian, mereka perlu menyusun masanya dengan teliti untuk menyelesaikan qada puasa Ramadan dan puasa sunat enam tadi.
“Barangkali ada yang sudah selesai mengerjakan puasa enam dalam bulan Syawal, tapi suka saya ingatkan, elakkanlah ganti puasa Ramadan yang berbaki pada saat akhir sebelum ketibaan Ramadan berikutnya kerana dibimbangi tidak sempat habis disempurnakan.
“Mungkin dalam kalangan kita, ada yang diberi ujian sakit, tetapi mampu untuk berpuasa. Maka, usahakanlah untuk menggantikan puasa Ramadan tadi dengan kadar segera sementara masih sihat dan mampu,” titipnya.
Bagaimana pula jika kita menerima terlalu banyak undangan jamuan raya hingga sukar untuk berpuasa enam?
Menjawab tanda tanya itu, Siti Fatahiyah menjelaskan, sebagai umat Islam yang bijaksana, kita perlu menyusun aktiviti masing-masing supaya dapat menyempurnakan puasa enam, di samping memenuhi jemputan Aidilfitri.
“Ketika berpuasa enam, kita boleh meneruskan puasa sunat kita sekiranya ia tidak menyusahkan dan membebankan tuan rumah yang telah menyediakan makanan untuk kita.
“Bagi memastikan ukhuwah terjalin dengan baik dan ganjaran pahala puasa enam dapat kita peroleh, susunlah jadual dengan teliti bila hendak berpuasa dan menghadiri jamuan hari raya,” katanya mengakhiri bicara.
ANEKDOT
Kelebihan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal
1. Menggenapkan ganjaran puasa selama setahun.
Sebaiknya, usahakanlah untuk menunaikan qada puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan terlebih dahulu agar mendapat ganjaran puasa setahun penuh.
Ingatlah, puasa Syawal ialah sunat sedangkan puasa qada Ramadan pula wajib hukumnya. Sudah semestinya ibadah wajib perlu didahulukan daripada yang sunat.
2. Menyempurnakan kekurangan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia pada hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik, maka dia akan beruntung dan selamat, jika solatnya rosak, maka dia akan rugi dan tidak beruntung. Jika amalan fardunya ada yang kurang, maka Tuhan berfirman: “Periksalah, apakah hamba-KU mempunyai ibadah sunnah yang boleh menyempurnakan ibadah wajibnya yang kurang? Lalu setiap amal akan diperlakukan seperti itu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
3. Melaksanakan puasa sunat Syawal adalah sebagai bentuk syukur kepada ALLAH SWT.
4. Menandakan ibadah dilakukan adalah berterusan dan bukannya bermusim.
5. Disediakan pintu syurga bernama ar-Rayyan bagi mereka yang melazimkan ibadah puasa.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga nanti, ada pintu dinamakan ar-Rayyan, yang akan dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari kiamat kelak. Tiada siapa yang memasuki pintu tersebut selain mereka. Dikatakan: Di mana orang-orang berpuasa? Maka mereka memasukinya. Apabila orang terakhir memasukinya, maka pintu itu ditutup dan tiada siapa lagi dapat memasukinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
***Sumber: https://ikram.org.my/kelebihan-puasa-sunat-6-hari-pada-bulan-syawal & Facebook Ustazah Asma’ Harun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!