UMNO Terengganu mohon pihak berkuasa laksana Titah Adendum

Rozi
Rozi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu memohon supaya pihak berkuasa melaksanakan Titah Adendum sesuai dengan proses perundangan negara berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, ia bagi memastikan perkara tersebut tidak menjadi polemik berpanjangan.

"UMNO Terengganu turut menggesa semua pihak supaya bertenang selain menerima proses yang dibenarkan di bawah kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong seperti mana pengampunan pernah diberikan kepada individu-individu lain sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana tampil memfailkan afidavit tambahan menyokong petisyen Najib berhubung kewujudan Titah Adendum mengenai tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.

"UMNO Terengganu percaya Ahmad Zahid membuktikan beliau sentiasa konsisten berusaha dalam pembelaan terhadap Najib yang merupakan seorang bekas pemimpin negara," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!