Johor akan jadi negeri termaju dalam tempoh dua tahun - PM
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan dua zon ekonomi khas akan melonjakkan ekonomi Johor menjadi negeri termaju dan mencatat pertumbuhan pesat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua zon khas tersebut ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Khas Kewangan Forest City.
"Dua zon ekonomi dan kewangan khas ini akan memacu perkembangan ekonomi negara menjadi lebih pesat.
"Apa sasarannya itu tak penting, namun paling penting adalah kemudahan ini (dua zon ekonomi) akan membantu dan dijangkakan Johor akan lebih pesat daripada beberapa negeri lain dalam tempoh setahun dua ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Sebelum itu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Iskandar Puteri.
Ketika berucap dalam majlis sambutan berkenaan, Anwar berkata, kewujudan dua zon khas ekonomi dan kewangan akan menjadikan Johor mencatat pertumbuhan yang sangat pesat tidak lama lagi.
"Tahun kebelakangan ini adalah tahun yang hebat buat Johor, bukan sahaja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang juga Agong ke-17 dari negeri ini malah ia diterajui pemimpin muda yang berjaya membangunkan Johor sehingga pembangunan ekonomi antara yang terbaik di Malaysia," katanya.
Pada 11 Januari lalu, Anwar dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) JS-SEZ di antara Malaysia dengan Singapura.
Dua bulan selepas itu, kedua-dua negara bersetuju mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji daya maju penubuhan zon ekonomi khas berkenaan.
Sebelum itu pada 25 Ogos tahun lalu, Forest City, projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan di perairan Johor berdekatan pelabuhan Tanjung Pelepas di sini diumumkan sebagai Zon Khas Kewangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!