Industri permainan video Malaysia dijangka catat hasil AS$649 juta

Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Gobind)
Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Gobind)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri permainan video Malaysia dijangka menjana hasil sebanyak US$649 juta (AS$ 1=RM4.78) pada 2024 selepas mencatatkan pertumbuhan ketara sejak kebelakangan ini, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pasaran dijangka menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun stabil pada 7.55 peratus mulai 2024 hingga 2027, dengan unjuran jumlah pasaran sebanyak AS$807 juta menjelang 2027.

"Kerjasama amat penting. Industri permainan adalah bersifat global, pencapaian dalam bidang ini memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak berkepentingan, dalam dan luar negara.

"Dengan bergabung tenaga, semua pihak boleh berkongsi pengetahuan, sumber, mencipta peluang termasuk memupuk budaya inovasi yang melampaui sempadan, menyatukan kami dalam mengejar kecemerlangan,” katanya pada pelancaran Akademi Xsolla Curine di sini hari ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyerikan majlis tersebut dengan kehadiran baginda.

Kata Gobind lagi, kerajaan kekal komited untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada industri permainan seperti penawaran insentif kewangan serta rangka kerja kawal selia yang melindungi hak protokol Internet (IP).

Kementeriannya melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), komited bagi mengembangkan dan memupuk industri kandungan digital negara melalui beberapa pendekatan.

MDEC akan memudahkan pelaburan serta sokongan akses pasaran melalui penyertaan dalam Festival Annecy, Persidangan Pembangun Permainan Video dan Pertunjukan Permainan Video Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Ia juga menyokong pertumbuhan IP, mengeram studio baharu dan program pembangunan kemahiran yang disasarkan seperti Program Inkubasi Kandungan Digital, penyampaian Geran Kandungan Digital dan Cabaran Pencipta Kandungan Digital.

Gobind berkata, agensi itu juga akan membantu dalam membina jenama Malaysia melalui sokongan serta kepimpinan industri melalui penyelidikan serantau dan kertas kepimpinan pemikiran, persidangan serantau selain acara perniagaan seperti LEVEL UP KL, Kre8tif!, IMMERSE KL dan acara pengguna yang lebih meluas seperti Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF).

"Pelaburan dalam sektor kandungan digital di Malaysia telah berkembang daripada RM550 juta pada 2022 kepada RM1.6 bilion menjelang 2023, dan diunjurkan menghasilkan lebih 1,900 pekerjaan berpendapatan tinggi melalui syarikat berstatus 'Malaysia Digital'.

"Ini menunjukkan bahawa industri kreatif digital adalah pemacu pertumbuhan yang ketara dan terdapat banyak minat dalam industri itu,” katanya.

Festival Kandungan Digital Malaysia yang dibuat secara tahunan adalah contoh utama pertumbuhan industri digital negara dengan peserta pameran meningkat daripada 80 pada festival pertama pada 2020 kepada 150 pada 2023. Ia menarik lebih 25,000 pengunjung tahun lepas, tambahnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!