Keputusan permohonan semakan kehakiman DNAA Ahmad Zahid ditetapkan 27 Jun
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 27 Jun ini bagi keputusan permohonan kebenaran Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Pada tarikh sama, Hakim Datuk Amarjeet Singh akan memutuskan permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana itu.
Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember lalu, Badan Peguam menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden.
Ia memohon perintah certiorari supaya keputusan Peguam Negara memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid pada 4 September lalu dibatalkan.
Badan Peguam turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama itu.
Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadapnya untuk meneliti bukti baharu.
Terdahulu, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Badan Peguam berkata badan itu mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
"Ini bukan hal Badan Peguam menjadi 'busybody’ atau semata-mata mencampuri urusan peribadi individu.
"Ia berkaitan dengan pertuduhan terhadap individu yang sebelum ini memegang jawatan awam (sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, sehingga 2018) dan terhadap siapa pertuduhan digugurkan semasa pelantikan semula ke jawatan awam (sebagai Timbalan Perdana Menteri, pada tahun 2022)," katanya.
Ambiga juga berhujah bahawa keputusan untuk memohon DNAA bagi responden kedua (Ahmad Zahid) adalah tidak sah dan bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2022 berpendapat wujud prima facie terhadap kes Ahmad Zahid dan memerintahkannya membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili Peguam Negara membantah bahawa Badan Peguam gagal membuktikan bahawa keputusan Peguam Negara sebenarnya tercemar dengan kecacatan undang-undang, malah mereka juga tidak menyokong hujah dengan bukti kukuh.
Menurut Shamsul, Peguam Negara bertindak dengan baik mengikut budi bicara pendakwaannya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa beliau boleh memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa permohonan Badan Peguam itu sudah pun bersifat akademik berikutan keputusamn Mahkamah Tinggi Jenayah membenarkan perintah untuk DNAA.
"Pemohon (Badan Peguam) tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan ini. Pendek kata, pemohon hanyalah 'busybody’ dan tidak terjejas dengan keputusan untuk memohon DNAA.
"Pemohon juga jelas gagal membuktikan, antara lain, locus standi dalam memfailkan permohonan. Oleh itu, permohonan kebenaran harus ditolak oleh mahkamah ini,” katanya. - Bernama
vIkuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!