Letusan Gunung Ruang jejas penerbangan Kuala Lumpur-Labuan

Penumpang Air Asia beratur di kaunter Lapangan Terbang Labuan untuk mendapatkan maklumat terkini dan menjadualkan semula penerbangan susulan pembatalan akibat letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia pada Khamis. Foto Bernama
Penumpang Air Asia beratur di kaunter Lapangan Terbang Labuan untuk mendapatkan maklumat terkini dan menjadualkan semula penerbangan susulan pembatalan akibat letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Letusan Gunung Ruang di Indonesia pada Selasa lepas menyebabkan perjalanan udara antara Kuala Lumpur dan Labuan terjejas dengan sekurang-kurangnya dua penerbangan masing-masing oleh Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia dibatalkan bagi kedua-dua arah.

Menurut pegawai di Lapangan Terbang Labuan, penerbangan MH2634 dan AK5174 dari Kuala Lumpur yang dijadual tiba di sini masing-masing pada jam 5.10 petang dan jam 4.50 petang tadi telah dibatalkan.

Turut terjejas dengan pembatalan itu ialah penerbangan AK5175 dan MH2535 dari Labuan ke Kuala Lumpur yang dijadual berlepas masing-masing pada jam 5.15 petang dan jam 5.55 petang.

Pegawai tersebut berkata, semua penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu telah dimaklumkan dengan sewajarnya.

Pembatalan penerbangan itu menyebabkan beribu penumpang terkandas dengan kaunter MAS dan AirAsia di Lapangan Terbang Labuan menjadi tumpuan pertanyaan.

Tinjauan Bernama di lapangan terbang itu pada Khamis mendapati beratus penumpang berusaha mendapatkan maklumat mengenai penerbangan seterusnya yang masih ada.

Gunung Ruang yang merupakan gunung berapi terletak berhampiran bandar Manado di wilayah Sulawesi Utara, Indonesia, iaitu kira-kira 800 kilometer ke tenggara Malaysia.

Memandangkan debu gunung berapi boleh menimbulkan risiko serius kepada enjin pesawat, pegawai itu berkata syarikat penerbangan bertindak mengutamakan keselamatan penumpang dengan membatalkan penerbangan selepas aktiviti gunung berapi itu dikesan berada pada laluan penerbangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa Lapangan Terbang Labuan turut menasihatkan penumpang yang terjejas agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini diberikan oleh syarikat penerbangan bagi menguruskan perjalanan mereka sewajarnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!