Indonesia cipta kejutan tumbangkan Australia
TANDUKAN separuh masa pertama Komang Teguh berjaya memastikan Indonesia mencipta kejutan menang 1-0 ke atas Australia di Stadium Abdullah bin Khalifa dalam aksi Kumpulan A Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) pada Khamis.
Ia sekali gus menghidupkan semula cabaran pasukan itu untuk mara ke suku akhir kejohanan tersebut selepas sebelum ini tewas kepada pasukan tuan rumah, Qatar pada perlawanan pembukaan.
Penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi menyelamatkan sepakan penalti minit ke-25 Mohamed Toure sebelum tandukan jarak dekat Komang 20 minit kemudian membolehkan pasukan Shin Tae-yong meraih kemenangan pertama mereka.
Keputusan itu menyaksikan Australia hanya memungut satu mata daripada dua perlawanan selepas seri dengan Jordan dalam perlawanan pertama mereka dalam pertandingan itu.
Pasukan kendalian Tony Vidmar perlu menang menentang Qatar dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Ahad untuk mara ke pusingan seterusnya.
Skuad Sang Garuda pula memungut tiga mata hasil kemenangan tersebut dan akan menentang Jordan pada aksi terakhir kumpulan juga pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!