Klopp enggan salahkan Salah

Klopp (kiri) tidak mahu menyalahkan Salah yang gagal memanfaatkan peluang dalam perlawanan menentang Atalanta. Foto AFP
Klopp (kiri) tidak mahu menyalahkan Salah yang gagal memanfaatkan peluang dalam perlawanan menentang Atalanta. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui ketumpulan jentera serangan The Reds menyebabkan mereka gagal bangkit dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Europa di Stadium Gewiss, Bergamo pada awal pagi Jumaat.

Penalti pada minit ketujuh yang dijaringkan Mohamed Salah telah kembali menyalakan harapan kebangkitan, tetapi pemain antarabangsa Mesir itu terlepas peluang keemasan untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada penghujung separuh masa pertama.

Mereka terus gagal menampilkan aksi lebih baik pada babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan itu akur tewas secara agregat 1-3.

“Kami tidak tewas dalam perlawanan malam ini, kami tewas di tempat sendiri (3-0 di Anfield pada perlawanan pertama).

“Sangat mudah untuk mengucapkan tahniah kepada Atalanta kerana mereka layak untuk mara ke pusingan seterusnya. Apabila anda memenangi perlawanan menentang kami 3-1 terutamanya dengan cara ini, anda layak mendapatkannya.

“Tetapi saya menyukai permainan kami, terutamanya pada permulaan. Saya menyukai komitmen, yang kami kembangkan dalam permainan ini tetapi jelas kami mempunyai peluang yang lebih baik.

“Jika berjaya jaringkan gol kedua mungkin sedikit sebanyak membantu. Agak kecewa kerana tidak dapat mara ke pusingan seterusnya, tetapi saya tidak marah," katanya.

Salah kelihatan kurang klinikal sejak berehat hampir dua bulan akibat kecederaan hamstring.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dia telah menjaringkan enam gol dalam 11 perlawanan sejak dia kembali, dua daripadanya adalah penalti dan dia mensia-siakan banyak peluang keemasan.

“Saya tidak begitu risau. Itulah yang dilakukan oleh penyerang. Begitulah keadaannya. Kami perlu melaluinya, dia perlu melaluinya.

“Dia adalah antara pemain paling berpengalaman dalam skuad. Bukannya Mo tidak melepaskan peluang sebelum ini dan itu sebahagian daripada permainan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!