Bayer Leverkusen tanpa kalah dalam 44 perlawanan

Bayer Leverkusen meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa. Foto AFP
Bayer Leverkusen meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa. Foto AFP
A
A
A

JUARA Bundesliga, Bayer Leverkusen mara ke separuh akhir Liga Europa pada Khamis dan melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan musim ini kepada 44 perlawanan.

Pasukan Jerman itu seri 1-1 di West Ham pada perlawanan kedua suku akhir dan mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1.

Michail Antonio meletakkan West Ham di hadapan pada minit ke-13 sebelum Jeremie Frimpong menyamakan kedudukan pada minit ke-89 untuk pasukan kendalian Xabi Alonso itu.

Leverkusen akan menentang Roma dalam penentuan tempat ke final.

"Saya rasa kami agak kurang bagus pada separuh masa pertama. Ia adalah situasi biasa penyokong yang memberikan semangat kepada West Ham. Kami agak bertuah pada separuh masa pertama (tidak dibolosi banyak gol).

"Namun, ia adalah fasa yang berbeza pada separuh masa kedua, kami mengawal permainan. Kami gembira kami berjaya melaluinya," kata pemain tengah Leverkusen, Granit Xhaka.

Hujung minggu lalu, Leverkusen memenangi Bundesliga buat kali pertama, menamatkan cengkaman 11 tahun Bayern Munich dalam kejuaraan liga itu.

Mereka kekal dalam perebutan tiga trofi musim ini ketika mereka turut menentang pasukan dari divisyen dua Kaiserslautern dalam perlawanan akhir Piala Jerman pada 25 Mei.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!