SUK Melaka meninggal dunia akibat serangan jantung
MELAKA – Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Zaidi Johari dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada Jumaat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mewakili kepimpinan kerajaan negeri turut mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham melalui akaun rasmi Facebooknya.
"Secara peribadi saya cukup terkesan dan amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham akibat serangan jantung.
"Pemergian Allahyarham dalam waktu yang singkat merupakan suatu kehilangan besar kepada seluruh warga perkhidmatan awam, khususnya di negeri Melaka," tulisnya.
Tambahnya, jasa dan sumbangan Allahyarham cukup besar kepada kerajaan negeri Melaka sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka bermula pada 5 Januari 2022 hingga kini.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melalui akaun rasmi Facebooknya turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat perkhidmatan awam khususnya negeri Melaka.
"Saya berasa amat dukacita di atas pemergian Allahyarham dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama kalangan orang beriman dan bertakwa.
“Dititipkan juga iringan doa semoga keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan orang tersayang serta dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.
Allahyarham Zaidi merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang ke-29.
Pentadbiran kerajaan negeri Melaka dalam kenyataannya memaklumkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al Azim Negeri Melaka untuk disolatkan.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke kediamannya di Kampung Tebung dan seterusnya ke Masjid Al-Ihsan Tebung.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!