Dedikasikan kemenangan kepada keluarga

S. Moganasundharam (kanan) bersama isteri Shanthimary Palvinder Kaur (kiri) memeluk anak mereka Nickhileswar yang muncul juara kategori lelaki bawah 11 tahun pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja (BJO) 2019 di Birmingham, England baru-baru ini sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang malam tadi. - Foto Bernama
S. Moganasundharam (kanan) bersama isteri Shanthimary Palvinder Kaur (kiri) memeluk anak mereka Nickhileswar yang muncul juara kategori lelaki bawah 11 tahun pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja (BJO) 2019 di Birmingham, England baru-baru ini sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

M. NICKHILESWAR, anak kelahiran Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai juara kategori lelaki bawah 11 tahun Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja British di Birmingham, England baru-baru ini, mendedikasikan kejayaannya kepada keluarga yang tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya selama ini.

Pelajar Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permatang Tinggi, Bukit Mertajam berkata kemenangannya merangkul kejuaraan besar ini semakin manis apabila ia dicapai sehari selepas ulang tahun kelahiran ibunya, Shanthimary Palvinder Kaur ke-43 tahun.

"Saya dedikasikan kemenangan ini untuk keluarga terutamanya ibu yang telah menyambut hari kelahiran sehari selepas saya memenangi kejohanan," katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini, malam tadi.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata walaupun menghadapi tekanan ketika kejohanan tersebut, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik, seterusnya menjadi juara.

“Ini merupakan kejohanan paling besar yang saya menangi setakat ini sejak terlibat dalam sukan ini,” katanya yang mula berjinak-jinak dengan sukan skuasy pada usia tujuh tahun.

"Saya berasa sedikit tertekan sebelum perlawanan kerana begitu mahukan kemenangan, namun berkat usaha, fokus dan latihan secara konsisten bersama jurulatih terbaik iaitu selama enam kali seminggu telah membuahkan hasil," katanya yang sering menjalani latihan di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicole David, di Jelutong, di sini.

Sementara itu, ibunya, Shanthimary berkata beliau gembira dan berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu yang sudah lama bekerja keras meningkatkan prestasinya sebelum menyertai kejohanan besar ini.

"Sememangnya dia layak mendapat kejayaan tersebut. Usaha dan kerja kerasnya selama ini dilihat amat berbaloi," katanya yang merupakan pekerja bank di sini.

Artikel Berkaitan:

Ayah Nickhileswar, Moganasundharam Sathisivan, 44, pula menyifatkan kejayaan tersebut adalah sebagai permulaan buat anak lelakinya itu.

"Banyak lagi yang perlu dipelajarinya dan jika diizinkan Tuhan saya berharap beliau dapat menjadi (berjaya) seperti (ratu skuasy negara) Datuk Nicol David," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!