Kampit beras dibuang: SWCorp tutup sementara tapak pelupusan sampah
KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang bertindak menutup sementara tapak pelupusan sampah haram di Jalan Pintasan Rumpun Makmur ke Gunung Senyum, Kuala Krau,Temerloh ekoran isu pembuangan beras dan beberapa barang keperluan yang tular di laman sosial sejak Khamis.
Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, penutupan itu dilakukan bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan terhadap pihak terlibat termasuk penyedia tapak pelupusan dan pihak yang membuang sampah di lokasi tersebut.
Menurutnya, SWCorp Pahang menerima maklumat berkaitan isu tular pembuangan sampah di lokasi tersebut melalui laman sosial Facebook pada Khamis.
"Pihak kami turut mendapatkan beberapa maklumat mengenai jenis sisa barangan keperluan asas harian seperti beras, tepung, gula, sardin dan pelbagai barangan lain yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Tindakan diambil segera kerana menyebabkan pencemaran dan menjejaskan alam sekitar selain terdapat juga maklumat mendakwa ada penduduk mengutip barangan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Sharudin berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya juga melaksanakan operasi penguatkuasaan sampah haram dan memasang pita penghalang serta papan tanda amaran larangan membuang sampah haram di lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan.
"Berdasarkan maklumat, tapak pelupusan sampah seluas 0.1 hektar itu disediakan pihak Felcra Berhad untuk kegunaan penduduk sejak lima hingga enam tahun lalu namun tidak dilesenkan melalui SWCorp," jelasnya.
Beliau berkata, pihak terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672) kerana membuang sisa pepejal terkawal di kawasan yang tidak dibenarkan.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sementara itu katanya, hasil tinjauan pegawai penguat kuasa SWCorp Pahang di lokasi pada pagi Jumaat mendapati sebahagian kawasan pelupusan itu telah dibersihkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!