Gesa pihak hina Permaisuri Agong dikenakan tindakan
KUANTAN - Sembilan laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan kenyataan penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini kelmarin.
Laporan berkenaan dibuat oleh wakil Majlis Pembangunan Wanita Pahang, Wanita UMNO Pahang, Wanita UMNO Bahagian Pekan, Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Wanita UMNO Bahagian Bentong, Pertubuhan Pronita Pahang, Kelab Mamanita Indera Mahkota dan dua individu lain.
Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, pihak polis digesa menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menghina Raja Permaisuri Agong susulan baginda menggunakan tulisan jawi di akaun Twitter.
Menurutnya, laporan polis dibuat juga sebagai satu mesej ketegasan kepada rakyat di negara ini supaya menghormati institusi diraja.
"Negara kita adalah negara Raja Berperlembagaan. Rakyat tidak mengira bangsa dan kaum seharusnya menghormatinya.
"Walaupun Raja Permaisuri Agong menyokong jawi, ia tidak bermakna baginda tidak menyayangi bangsa lain selain Melayu," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular status di akaun Facebook menggunakan nama Nengtung Ting ditulis dalam bahasa Cina telah menghina dan mencerca Permaisuri Agong berikutan penggunaan tulisan jawi di dalam akaun Twitter baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!