Pelan liberalisasi visa rancak kemasukan pelancong dari China, India

Mengikut rekod pelancong di luar negara ASEAN yang paling ramai masuk ke Malaysia adalah China dan India. Gambar hiasan 123RF.
Mengikut rekod pelancong di luar negara ASEAN yang paling ramai masuk ke Malaysia adalah China dan India. Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

BANGKOK - Pelan liberalisasi visa telah merancakkan kemasukan pelancong ke dalam negara khususnya dari China dan India dengan peningkatan sebanyak 78.2 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kementeriannya telah memantau pelan itu sejak dilaksanakan Disember tahun lepas dan mendapati rekod ini amat mengalakkan dengan peningkatan sebanyak 861,000 orang untuk bulan Januari, Februari dan Mac.

"Mengikut rekod pelancong di luar negara ASEAN yang paling ramai masuk ke Malaysia adalah China dan India.

"Peningkatan pelancongan dari kedua-dua negara itu dijangka menjana kepada unjuran nilai sebanyak RM6 bilion bagi semua rangkaian termasuk perhotelan, pengangkutan, restoran dan semua," katanya dalam ucapan di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Menteri Dalam Negeri di sini malam Jumaat.

Beliau berkata, pelancongan merupakan sektor yang rancak dan perlu disokong dengan kemudahan-kemudahan yang baik untuk menyambut kehadiran yang ramai.

"Disebabkan itu kita tidak boleh ada kesesakan di pintu sempadan masuk Malaysia dan kita tidak boleh lagi guna kaedah pakai ‘stamp’ pasport. Kita perlu ada kaedah yang memudahkan pelancong yang ingin memasuki negara dengan cara yang betul dan selamat," katanya.

Beliau berkata, KDN sememangnya kini ke arah "face recognition" atau "barcode" bagi memudah dan mengelakkan kesesakkan di pintu sempadan.

"Sekiranya kita boleh selesaikan keadaan di pintu sempadan masuk ke negara khususnya di Tambak Johor dengan Singapura dengan kemasukkan 350,000 "pelancong harian" maka kita boleh menjadi sempadan pintu masuk negara yang kedua paling sibuk di dunia selepas Amerika dengan Mexico," katanya.

Saifuddin berkata, adalah menjadi sasaran KDN untuk menyelesaikan keadaan di semua pintu masuk sempadan negara, dan sedang bergerak ke arah memudahkan - bukan lagi kekal dengan cara lama dan mengharapkan hasil lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Di Tambak Johor, kita ada 25 agensi untuk mengawal pintu masuk ke negara berbanding Singapura yang hanya mempunyai satu iaitu ICA (Immigrations and Checkpoints Authority).

"Jadi kita sedang memikirkan rang undang-undang untuk melahirkan satu agensi yang kita akan panggil sebagai "Malaysia Control Border Proctection Agency" untuk menguruskan kawalan pintu masuk negara," katanya.

Terdahulu Saifuddin yang sedang dalam lawatan kerja tiga hari di Bangkok, Thailand telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand Anutin Charnvirakul dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Varawut Silpa-archa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!