Penguat kuasa JPJ dibenar tidak pakai uniform ketika operasi penyamaran

Tangkap layar video tular pegawai JPJ yang melaksanakan operasi penyamaran bas.
Tangkap layar video tular pegawai JPJ yang melaksanakan operasi penyamaran bas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pegawai atau anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video tular di media sosial berkaitan tiga orang anggota penguat kuasa JPJ tidak memakai uniform atau vest ketika melakukan operasi.

Menurutnya kenyataan itu, JPJ mengesahkan bahawa ketiga-tiga individu berkenaan adalah pegawai penguat kuasa JPJ.

"Menerusi video yang tular itu, tiga anggota penguat kuasa JPJ tanpa uniform atau vest itu melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas penumpang ketika operasi khas pada jam 12.10 tengah hari 16 April lalu di Lebuhraya Utara Selatan ke arah utara Nilai menggunakan kaedah penyamaran.

"Pegawai JPJ dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi, namun perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah sekiranya diminta berbuat demikian selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, sebagai makluman, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes tersebut masih dalam siasatan.

Ujar JPJ, semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut dan memberikan ruang kepada pihak polis untuk melakukan siasatan penuh.

Jelas kenyataan itu lagi, JPJ melaksanakan Operasi Khas Hari Raya (HRA) Sempena Aidilfitri 2024 bermula 1 April dan tamat pada 20 April bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang operasi tersebut, jabatan menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal-terminal bas sebelum memulakan perjalanan dan pemantauan di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

"Pemantauan termasuk menggunakan teknologi dron, menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ," ujarnya.

Justeru, JPJ sentiasa komited dalam memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap terbaik di samping menguatkuasakan undang-undang jalan raya.

Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video memaparkan seorang pemandu bas yang berang selepas dikenakan tindakan oleh pegawai JPJ semasa melakukan operasi penyamaran bas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!