Ada penduduk sempat kutip beras
TEMERLOH - Segelintir penduduk kampung sempat membawa pulang lambakan barangan yang dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum di sini pada Khamis.
Antaranya, seorang penternak ayam, Mohamad Nor Halim, 27, yang memberitahu sempat mengutip dua pek beras di lokasi terbabit.
Ujarnya, beras tersebut untuk kegunaan ternakan ayam kampung dan pedaging di Kampung Gunung Senyum.
Akuinya, beras yang diambil itu sudah dipenuhi bubuk dan tidak sesuai dimakan oleh manusia kecuali haiwan ternakan.
"Namun beras itu boleh juga dimakan jika dibasuh berkali-kali dan menghilangkan lapar dan meneruskan kehidupan.
"Jika diberi beras dan barang dapur itu kepada rakyat Palestin betapa bersyukurnya mereka menerima rezeki," katanya.
Seorang lagi penduduk kampung yang enggan dikenali turut memberitahu hanya sempat mengutip satu pek beras dan uncang teh.
"Barangan lain seperti sardin tidak sempat ambil kerana telah dibakar," katanya mengetahui mengenai kejadian itu menerusi anaknya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!