Bayaran yuran latihan e-sukan layak nikmati pelepasan cukai

Hannah Yeoh (dua dari kiri) semasa sidang media mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Kementerian Belia dan Sukan pada Jumaat. - Foto Bernama
Hannah Yeoh (dua dari kiri) semasa sidang media mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Kementerian Belia dan Sukan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perbelanjaan yuran keahlian gimnasium, mengikuti latihan atau kelas e-sukan, ekuestrian, renang, sukan bermotor dan taekwondo layak untuk menikmati pelepasan cukai sehingga RM1,000 mulai tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

Beliau berkata, sukan terbabit merupakan antara 103 jenis sukan yang diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan senarai sukan tersebut akan dipaparkan dalam laman sesawang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dalam masa terdekat.

"Pembayaran keahlian gimnasium dan latihan sukan adalah skop baharu yang telah dimasukkan dalam pelepasan cukai.

"Ini bermaksud, bila mereka buat tuntutan (pelepasan cukai) untuk tahun depan, mereka boleh sertakan resit pembayaran. Tuntutan (pelepasan) sehingga RM1,000,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di sini pada Jumaat.

Selain itu, Hannah berkata, pelepasan cukai turut diberikan bagi pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan yang tersenarai dalam Akta 576 dan bayaran pendaftaran menyertai pertandingan sukan termasuk larian.

Hannah berkata, insentif itu merupakan perbelanjaan yang dibenarkan untuk kegunaan atau manfaat diri sendiri, suami, isteri atau anak.

"Kita tahu ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk menyertai kejohanan, mereka juga boleh menikmati insentif ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hannah berkata, pelepasan cukai itu adalah tertakluk kepada beberapa kriteria iaitu penyertaan latihan sukan perlu dikendalikan oleh jurulatih, kelab atau syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016, latihan secara one-off atau bersiri, jenis sukan adalah tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta 576 dan perbelanjaan mesti dibuktikan dengan resit pembayaran.

"Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan penyedia latihan mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak mendapat pelepasan cukai ini,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 9,955 entiti sukan berdaftar dengan PJS dan dijangka akan meningkat susulan penerimaan kira-kira 100 permohonan setiap minggu, katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!