KLANG - Seorang pengetua sebuah madrasah di sini mengaku tidak salah atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki madrasah itu sejak Jun tahun lalu sehingga awal tahun ini. Tertuduh, Mohd Khairul Nizam Abd Ghani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohamad Zamzani Mohd Zain. Tertuduh didakwa tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun dan satu pertuduhan terhadap mangsa berusia 14 tahun. Perbuatan terhadap kedua-dua mangsa didakwa dilakukan di kawasan berasingan iaitu di madrasah berkenaan dan Taman Liza Kampung Delek Kanan 4, Klang. Tertuduh mengulangi perbuatan berkenaan terhadap mangsa berusia 15 tahun di madrasah sejak pada Julai, September, November lalu dan awal Januari ini antara jam 12.10 hingga 12.15 malam. Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun pada Jun tahun lalu di Taman Liza Kampung Delek Kanan, 4, Klang pada jam 12.05 tengah malam. Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan. Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainun Zafirah Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam, Gerard Lazarus. Gerard memohon tertuduh dibenarkan jaminan dengan alasan ia kejadian pertama kali berlaku dan tertuduh tidak pernah terlibat dalam mana-mana kes jenayah sebelum ini. "Tertuduh juga kini tidak lagi mempunyai pendapatan tetap selepas madrasah itu tidak lagi beroperasi dan pelajar telah dihantar balik. "Kami pohon jaminan sekitar RM5,000 kerana dia tidak mempunyai sumber pendapatan dan baru sahaja berkahwin,” katanya. Mohd Zamzani kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 selain memerintahkan tertuduh melapor diri dua kali sebulan di Balai Polis Klang sehingga selesai bicara dan tertuduh turut dilarang berkomunikasi atau kacau ganggu saksi dan mangsa sepanjang prosiding berkenaan. Mahkamah menetapkan 12 Februari depan sebagai sebutan semula kes.