Letusan Gunung Ruang: Masih ada terkandas, 'setia' menunggu di lapangan terbang

Suriani, 48, bersama suami dan anaknya melihat jadual penerbangan baharu semasa terkandas di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini berikutan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Foto Bernama
Suriani, 48, bersama suami dan anaknya melihat jadual penerbangan baharu semasa terkandas di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini berikutan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Meskipun kebanyakan penerbangan ke Malaysia Timur telah mula beroperasi sejak lewat petang semalam, masih terdapat segelintir kumpulan yang terkandas lebih 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini.

Letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia telah mengakibatkan ribuan penumpang beberapa syarikat penerbangan antaranya Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terkandas di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, semalam.

Kerani sekolah Suraini Bacho,48, dari Sabah yang sepatutnya berlepas ke Sandakan pada 10.25 pagi semalam masih lagi ‘setia’ menunggu penerbangan seterusnya ke daerah itu yang dijadualkan pada 2.50 petang ini menerusi Malaysia Airlines MH2668.

"Saya, suami dan anak perempuan balik beraya di Ipoh, Perak pada 4 April lepas dan kami patut pulang ke Sandakan semalam. Kami sampai di KLIA pukul 3 pagi semalam, tapi dapat makluman ada kejadian gunung berapi di Indonesia, tapi tak sangka penerbangan kami terjejas juga,” katanya ketika ditemui kira-kira 12 tengah hari tadi.

Biarpun telah mendapat jadual penerbangan baharu, Suraini berkata mereka diminta untuk menunggu pengumuman selanjutnya dan berdepan dengan sebarang kemungkinan, termasuk pembatalan penerbangan.

Ditanya cabaran berdepan dengan situasi luar jangka itu, dia redha bagaimanapun keadaan itu memerlukan kos tambahan seperti penginapan dan pengangkutan.

"Kami diberi baucar makanan sahaja dan diberitahu penginapan tidak disediakan, jadi kami terpaksa menempah bilik hotel yang agak jauh dari sini iaitu di Kota Warisan, Sepang. Penginapan pun kita belanja duit lebih RM200 dan kos kenderaan Grab pun mencecah RM80,” katanya.

Malaysia Airlines telah menyambung semula penerbangan ke dan dari Sabah, Sarawak dan Labuan secara berperingkat sejak petang semalam (18 April) susulan keadaan semasa cuaca.

Artikel Berkaitan:

Syarikat penerbangan itu dalam kemas kini di media sosialnya hari ini berkata, perkembangan itu susulan pembatalan penerbangan yang perlu dilaksanakan akibat letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Muhammad Hafis, 19, bersama rakannya Faris Luqman Khairul Nizam, 19, (dua, kiri) antara yang terkandas di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini berikutan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Foto Bernama
Muhammad Hafis, 19, bersama rakannya Faris Luqman Khairul Nizam, 19, (dua, kiri) antara yang terkandas di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini berikutan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Foto Bernama

Sementara itu, pelajar Kolej Matrikulasi Johor, Muhammad Hafis Zainal Abidin, 19, berkata, beliau dan rakannya Faris Luqman Khairul Nizam, 19, perlu berada berada di Kundasang, Sabah untuk menyertai pertandingan robotik yang bermula sejak semalam.

"Kami terkandas di sini sejak awal pagi semalam, pertandingan telah bermula semalam hingga 22 April ini. Kami kecewa juga sebab tidak dapat berada secara fizikal di Kundasang dan cuba untuk tarik diri daripada pertandingan namun pihak penganjur masih berharap kami dapat hadir.

"Kami difahamkan pasukan Kedah dan Pulau Pinang juga telah menarik diri sebab ketiadaan tiket penerbangan susulan kejadian gunung berapi, harap kami dapat berada di sana,” katanya.

Setakat 2.30 petang ini, kelihatan keadaan di KLIA Terminal 1 terkawal dan petugas Malaysia Airports Holdings Bhd bertungkus-lumus memberikan layanan kepada penumpang, terutamanya di kawasan Anjung Tinjau KLIA yang disediakan khusus bagi penumpang ke Malaysia Timur yang terkandas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!