Bekalan beras mencukupi, orang ramai tidak perlu bimbang

Bekalan beras untuk pasaran domestik mencukupi. Gambar hiasan, gambar kecil: Musonnef
Bekalan beras untuk pasaran domestik mencukupi. Gambar hiasan, gambar kecil: Musonnef
A
A
A

ALOR SETAR - Negara tidak berhadapan masalah bekalan beras di pasaran berikutan stok sedia ada mencukupi dan mampu menampung keperluan domestik.

Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md Radzi berkata, sehingga kini stok fizikal beras negara adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras.

“Jumlah bekalan beras dalam negara mencukupi, tiada masalah cuma ada di beberapa tempat hasil tuaian menurun sedikit atas beberapa faktor.

“Ini termasuk tuaian beras putih tempatan di Kedah yang mengalami sedikit pengurangan hasil antaranya disebabkan cuaca panas kemarau,” katanya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang berlakunya ketidakcukupan beras dalam pasaran kerana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memberi jaminan bahawa stok fizikal beras di pasaran mencukupi dan mampu menampung keperluan bagi tempoh enam bulan.

Dalam kenyataan 8 April lalu, KPKM memaklumkan jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini.

Musonnef berkata, bekalan beras sentiasa mencukupi dan tidak timbul lagi bekalan disorok seperti sebelum ini.

“Beras kita ada di pasaran, ditambah lagi dengan adanya 290,000 tan metrik stok penimbal beras, tiada masalah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, tular satu rakaman memaparkan lambakan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Susulan itu, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dalam kenyataan pada Jumaat menjelaskan, barangan keperluan asas tersebut dilupuskan kerana dicemari kutu beras dan bubuk selain tidak sesuai diagihkan kepada orang ramai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!