Perintah larangan bersuara terhadap pengarah filem Mentega Terbang kekal

Mohd Khairianwar (kiri) bersama penerbit, Tan Meng Kheng.
Mohd Khairianwar (kiri) bersama penerbit, Tan Meng Kheng.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Majistret terhadap pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang iaitu Mohd Khairianwar Jailani yang melarang beliau membuat sebarang kenyataan atau komen berkaitan kesnya yang sedang berjalan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Mohd Khairianwar untuk kebenaran meneruskan rayuan bagi mengetepikan perintah tersebut.

Ahmad Zaidi berkata, Mohd Khairianwar gagal membuktikan bahawa majistret dan hakim mahkamah tinggi yang membuat keputusan itu telah terkhilaf ketika menggunakan budi bicara mereka dalam mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap beliau.

Ahmad Zaidi, yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin, berkata isu perundangan yang dibangkitkan oleh peguam Mohd Khairianwar bukan perkara baharu.

Pada 17 Januari lepas, Mohd Khairianwar, 32, dan penerbit Tan Meng Kheng, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama lain menerusi filem itu di sebuah premis di Jalan Semarak Api, Kuala Lumpur pada 12.34 tengah hari 26 Februari tahun lepas.

Mahkamah Majistret turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah terhadap kedua-dua tertuduh yang melarang mereka mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes mereka sehingga ia selesai.

Mereka kemudian memfailkan permohonan semakan kepada Mahkamah Tinggi.

Pada 24 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mohd Khairianwar dan mengekalkan perintah larangan bersuara terhadapnya manakala permohonan Tan untuk mengetepikan perintah itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi yang lain.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, peguam Zaid Malek yang mewakili Mohd Khairianwar berhujah kebenaran wajar diberikan bagi membolehkan mahkamah memutuskan tiga persoalan undang-undang namun Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah berkata kesemua isu yang dibangkitkan bukanlah perkara baharu.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!