Polis perketat kawalan di KLIA, KLIA 2 jamin keselamatan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan pegawai dan anggotanya lengkap bersenjata di sekitar kawasan Balai Berlepas dan Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 di Sepang bermula Selasa dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kawalan keselamatan dan pemantauan pada masa ini membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
"Bagi penugasan di KLIA, setiap syif menempatkan 23 keanggotaan iaitu empat orang daripada PGA dan IPD KLIA 19 orang.
"Penugasan di KLIA 2 pula membabitkan kekuatan 14 anggota setiap syif di mana 10 keanggotaan bagi IPD KLIA dan empat daripada PGA," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, setiap syif akan bertugas selama lapan jam dengan penggiliran tiga syif sehari.
Tambahnya, pada masa sama, satu syif akan berada dalam keadaan siap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam menghadapi apa juga situasi yang dianggap mendatangkan ancaman.
"Konsep penugasan adalah bersesuaian dengan anggota beruniform lengkap bersenjata SMG HK MP5.
"Mereka ini (anggota IPD KLIA) akan berpasangan dengan anggota PGA yang memakai seragam penuh operasi lengkap berserta berret, body armor dan senjata utama serta senjata kedua," katanya.
Katanya, penugasan secara prowler atau rondaan akan dilaksanakan di lapan pintu masuk dan keluar di Balai Pelepasan dan Balai Ketibaan KLIA.
"Justeru ingin saya tegaskan bahawa langkah ini adalah sebagai salah satu penambahbaikan dari PDRM demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan PDRM selain berharap supaya semua pihak memberikan kerjasama sewajarnya demi kebaikan kita bersama," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, Ahad lalu, suspek Hafizul Harawi, 38, membaling mercun bola sebelum melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan isterinya pada jarak tiga hingga empat meter.
Bagaimanapun satu tembakan tersasar manakala satu das lagi mengenai perut salah seorang pengawal peribadi isteri suspek dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat masalah peribadi.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum diberkas di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa dan direman selama tujuh hari sehingga 22 April ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!