Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum pada perhimpunan Hari Pekerja - PM

Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum pada perhimpunan Hari Pekerja yang bakal diadakan kelak. Foto hiasan
Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum pada perhimpunan Hari Pekerja yang bakal diadakan kelak. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan Hari Pekerja yang bakal diadakan kelak.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 yang dipengerusikannya hari ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut struktur gaji penjawat awam, hampir memuktamadkan penambahbaikan berkaitan perkara itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata, perkara itu seterusnya akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Saya ingin tegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

"Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah, semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," kata beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lepas mengumumkan SSPA akan dilaksana sepenuhnya mulai 2025. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!