Pernah diberhentikan kerana pekak, OKU tak patah semangat

Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada Mohd Azli (tiga dari kanan).
Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada Mohd Azli (tiga dari kanan).
A
A
A

TUMPAT - Pernah diberhentikan kerja kerana pekak tidak mematahkan semangat seorang bapa orang kurang upaya (OKU) untuk terus bekerja bagi menyara isteri dan lima anaknya.

Mohd Azli Arahman, 47, cacat pendengaran sebelah kanan akibat kecederaan tercucuk lidi ke dalam organ itu ketika di usia remaja.

Isterinya, Azlina Ripin, 43, berkata, Mohd Azli sempat bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum diberikan surat berhenti kerja kerana kekurangannya itu kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Azli dan Azlina
Mohd Azli dan Azlina

“Mula-mula Mohd Azli diterima bekerja kerana majikan tidak mengetahui dia ada masalah pendengaran dan selepas enam bulan, majikan mula mengetahuinya kemudian Mohd Azli diberhentikan.

“Kami bagaimanapun faham bahawa tindakan itu diambil kerana tuntutan tugas untuk menjaga keselamatan tidak boleh bagi orang pekak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Khidmat Komuniti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia Tumpat di Kampung Tanjung Che Mas pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi PBSM Malaysia Tumpat, Ahmad Yusof yang mengagihkan bantuan makanan kepada lapan penerima.

Menurut Azlina, Mohd Azli kemudiannya bekerja di sebuah kilang besi buruk di Kok Bedollah dengan pendapatan RM1,100 sebulan, namun kilang tersebut pula terbakar dalam kejadian tiga hari sebelum Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

“Ketika ini, dia sedang menunggu perkembangan daripada majikan barunya itu kerana mahu kembali bekerja di kilang tersebut.

“Buat masa ini, kami mengalami kesempitan wang memandangkan Mohd Azli tidak mendapat gaji kerana tidak bekerja akibat insiden kebakaran kilang tempat kerjanya itu,” ujarnya.

Suri rumah itu berkata, buat sementara waktu, mereka hanya bergantung kepada bantuan RM450 sebulan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat selain menerima Sumbangan Asas Rahmah RM100 sebulan.

“Cuma, sedikit sukar untuk kami sediakan wang saku persekolahan anak-anak berjumlah lebih RM20 sehari untuk empat anak masih bersekolah masing-masing seorang di Tingkatan Satu, Empat dan pasangan kembar di Tingkatan Tiga.

“Anak sulung kami pula berusia 22 tahun baharu saja tamat pengajian Diploma Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masih belum mendapat kerja,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Mohd Azli Arahman Bank Islam 03148020244526.

Sementara itu, Ahmad berkata, tahun ini setakat 19 April, sebanyak 250 penerima dibantu terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan OKU.

“Kami memperuntukkan dana kira-kira RM10,000 yang disumbangkan oleh orang ramai dan mengagihkan dalam bentuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

“Agihan ini akan bertambah sebanyak 10 penerima setiap bulan selepas di dan dilakukan di kawasan daerah Tumpat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!