'Sekiranya terkena tembakan, saya reda' - Mohammad Shafiq
SEPANG - Keberanian Koperal (PB) Mohammad Shafiq Safi'ai berhadapan suspek bersenjata dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad lalu mendapat penghargaan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Penghargaan kepada pembantu keselamatan penerbangan itu susulan tindakan pantas memberi amaran terhadap tindakan suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan.
Berdepan detik cemas itu, Mohammad Shafiq berkata, dia hanya memikirkan keselamatan orang awam yang berada di kawasan sekeliling berbanding dirinya sendiri.
"Ketika kejadian, saya sedang berkawal di pintu masuk balai ketibaan antabarangsa dan tidak nampak suspek secara dekat.
"Selepas tembakan pertama dilepaskan, saya terus bergerak ke arah bunyi itu dan melihat lelaki berbaju belang mengacukan pistol terhadap mangsa dalam jarak dekat.
"Tanpa berfikir panjang, saya jerit 'hoi' dengan kuat sebanyak dua kali untuk mengalih perhatian sebelum suspek bertindak mengacukan senjata ke arah saya.
"Saya menyorok di sebalik tiang untuk berlindung dan melihat suspek melarikan diri ke arah blok tempat letak kenderaan. Sekiranya ketika itu saya terkena tembakan, saya reda," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian jam 1.20 pagi Ahad lalu, beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai di balai ketibaan terletak di aras tiga KLIA.
Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di balai ketibaan antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.
Bercerita lanjut, lelaki berusia 36 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan itu memberitahu, sepanjang bertugas sebagai pembantu keselamatan MAHB sejak 2009, kejadian tersebut merupakan pengalaman pertamanya berdepan situasi getir melibatkan senjata api.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, kejadian amuk beberapa tahun lalu merupakan pengalaman paling cemas dihadapinya sepanjang berkhidmat.
"Alhamdulillah berbekalkan pengalaman selama 15 tahun dalam bidang keselamatan, situasi seperti itu dapat ditangani dengan baik.
"Lebih penting, keselamatan orang awam sentiasa terjamin dan tidak berlaku kejadian lebih buruk," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Penerbangan MAHB, Zulkifli Bashir memaklumkan, setiap pegawai dan anggota keselamatan diberi latihan terbaik untuk memelihara keselamatan dalam kawasan lapangan terbang.
Beliau berkata, pasukan polis bantuan MAHB diwajibkan menjalani latihan asas selama enam bulan berbanding polis bantuan lain yang hanya memerlukan dua bulan.
"Ini kerana kita nak memastikan standard perkhidmatan yang diberikan kepada orang awam di lapangan terbang adalah terbaik.
"Dua bulan pertama mereka akan menjalani latihan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua bulan berikutnya bersama akademi latihan penerbangan manakala selebihnya latihan lapangan di KLIA," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!