Penunggang, pembonceng motosikal terus terdedah risiko kemalangan maut
OP Selamat 2024 mencatatkan kematian tertinggi penunggang dan pembonceng motosikal akibat kemalangan jalan raya.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berdasarkan kajian kemalangan yang berlaku berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan selamat antara kenderaan.
Meskipun kes kemalangan menurun sebanyak 8,862 kes berbanding 8,989 kes tetapi penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatatkan angka kematian tertinggi tahun ini iaitu dengan 79 kematian berbanding 80 pada 2023.
Lebaran kali ini, kita turut dikejutkan dengan berita seorang ibu trauma apabila dua anak lelakinya berusia 19 tahun yang menunggang motosikal meninggal dunia selang setahun akibat terbabit kemalangan di Pantai Kundur Melaka pada malam 1 Syawal lalu.
Sama ada suratan atau kebetulan, hakikatnya penunggang dan pembonceng motosikal sememangnya terdedah dengan kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Ini dibuktikan lagi apabila seorang lagi penunggang motosikal berusia 18 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah Lumba Haram di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal di Alor Gajah pada awal 1 Syawal.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selain patah kaki dan paha dalam kejadian jam 2.56 pagi itu.
Masih dalam kejadian 1 Syawal lagi, seorang pelajar berusia 16 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah treler di Kampung Kepong di Kuala Terengganu.
Ketua Polis Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa, Muhammad Alauddin Shammunaha turut dibonceng dua lagi individu.
Apa sekalipun punca kemalangan yang berlaku membabitkan semua mangsa, sebagai pengguna jalan raya sikap berwaspada dan berhati-hari perlu wujud dalam diri agar tidak menjadi mangsa kejadian tidak diingini.
Malah ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka yang masih di bawah umur tidak menunggang atau memandu kenderaan sewenang-wenangnya di atas jalan raya kerana sememangnya malang itu tidak berbau.
Paling penting jangan gunakan emosi sebagai jalan penyelesaian di atas jalan raya kerana tindakan itu tidak memberikan faedah selain boleh menyebabkan mereka tidak berdosa menjadi mangsa.
Buktinya pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Waja cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak baru-baru ini.
Kejadian berlaku sebaik kereta terbabit dihimpit sebuah Honda City dengan rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!