Polis serah SPRM siasat dakwaan anggota peras ugut penduduk

Noor Azam Jamaludin
Noor Azam Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan anggotanya terlibat kegiatan memeras ugut penduduk Kampung Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, laporan telah dibuat penduduk terbabit kepada pihak SPRM.

"Biarlah SPRM siasat akan dakwaan itu. Kalau ada bukti yang kukuh tentang penglibatan mereka (polis) dengan dakwaan itu, ambil lah tindakan berdasarkan undang-undang yang ada," katanya hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan dikenakan sekiranya anggota polis terbabit didapati bersalah, Noor Azam berkata, sebagai penjawat awam pihak polis juga terikat dengan Peraturan Pegawai- Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993.

Terdahulu, seorang 'wakil' penduduk Kampung Sungai Buloh membuat laporan di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

Lelaki berusia 50 tahun yang enggan identitinya didedahkan itu mendakwa polis di kawasan itu menahan beberapa anak muda di tempatnya dan memeras ugut keluarga mereka.

Dia mendakwa sekumpulan polis Jabatan Narkotik ibu pejabat daerah (IPD) Sungai Buloh yang digelar penduduk kampung sebagai 'Narko Subang' itu menjalankan aktiviti berkenaan sejak tahun lalu.

Dia mendakwa ada yang dipaksa membayar sehingga RM27,000 bagi membebaskan anak mereka daripada didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM.

"Setakat ini tiada laporan polis diterima kita berhubung dakwaan terbabit. Kalau mereka nak buat laporan polis, kita tiada halangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!