Maklum status kesihatan sebelum sertai aktiviti sekolah - JPNS

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memohon semua murid yang terlibat dalam aktiviti dalam dan luar bilik darjah perlu menjelaskan status kesihatan masing-masing.

Pengarahnya, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, ia khususnya yang melibatkan aktiviti fizikal kepada guru bertugas sebelum disertai.

"Semua prosedur telah kita laksanakan termasuk memastikan semua peralatan dan cuaca diambil kira oleh pengetua dan guru besar sekolah sebelum sesuatu aktiviti dilaksanakan, termasuklah semua peralatan dan keadaan cuaca diambil kira.

"Di samping itu, ibu bapa dan penjaga murid dipohon memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai status kesihatan anak mereka bagi menggelakkan maklumat berkaitan tidak diketahui oleh pihak sekolah," katanya kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Kuala Pilah yang merupakan pesakit jantung berlubang disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14 dari Nilai menyertai acara tersebut sebelum rebah semasa menghampiri garis penamat sekitar 50 meter.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut termasuk sama ada status kesihatan murid atau pelajar yang terlibat dimaklumkan kepada guru bertugas.

"Siasatan masih dijalankan selain dapatan awal kematian berpunca daripada kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.

"Pelajar berkenaan mempunyai Kad Rawatan bagi penyakitnya itu dari Institut Jantung Negara (IJN) dan sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!