Wanita warga emas maut dilanggar motosikal

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.Gambar kanan: Mangsa kemalangan yang maut di tempat kejadian.- Foto: IPD Kluang
Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.Gambar kanan: Mangsa kemalangan yang maut di tempat kejadian.- Foto: IPD Kluang
A
A
A

KLUANG – Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer (KM) 59, Jalan Yong Peng-Kluang dekat sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, pihaknya menerima makluman orang awam berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

“Hasil siasatan mendapati motosikal jenis LC135 yang ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun datang dari arah Paloh menghala ke lampu isyarat Batu 4, Kluang.

“Ketika tiba ke lokasi, wanita warga emas berusia 63 tahun itu tiba-tiba muncul dan penunggang motosikal terbabit gagal mengelak dan melanggar wanita warga emas berkenaan hingga jatuh ke jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akibat perlanggaran terbabit, wanita warga emas itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Sementara itu, beliau berkata, penunggang motosikal terbabit yang bekerja sebagai operator kilang pula dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian badan serta kepala kini berada di Zon Kuning,Hospital Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!