Buang barangan keperluan dapur satu tindakan terburu-buru - Salamiah

Laporan Sinar Harian. Salamiah (kanan).
Laporan Sinar Harian. Salamiah (kanan).
A
A
A

TEMERLOH - Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor menyifatkan pembuangan barang keperluan dapur dipercayai milik bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum pada Khamis lalu adalah satu tindakan terburu-buru sehingga menimbulkan kekesalan banyak pihak khususnya rakyat di negara ini.

Menurutnya, pihak terbabit sepatutnya memilih barangan yang masih elok dan boleh diguna sebelum dibuang kerana ada sebahagian barang didakwa masih belum tamat tempohnya.

"Kalau kata tercemar, kenapa tak pilih, periksa dulu, seperti bihun, ada yang jumpa tarikh tamat luputnya pada 31 Disember 2025.

"Jadi kita sangat kesal dan sedih dengan situasi ini dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai rakyat memerlukan bantuan tapi barangan keperluan dibuang begitu sahaja, sepatutnya diagihkan kepada tempat sewajarnya dan mereka yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin yang amat dikenali itu sangat dikesali.

"Saya juga meminta agar siasatan segera dilakukan serta tindakan diambil terhadap semua pihak terlibat dalam kejadian ini kerana kesalahan yang dilakukan amat jelas dan nyata, buang pula di tempat yang dilarang selain membuat pembakaran terbuka.

"Ini sebagai satu pengajaran kepada semua pihak supaya kejadian sebegini tidak berulang," ujarnya

Sebelum ini, tular lambakan barangan keperluan seperti beras, tepung gandum, sardin, bihun ditemui di kawasan terbabit hingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ismail yang juga bekasTimbalan Menteri Dalam Negeri mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barangan itu dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.

Menurutnya, barangan keperluan asas antaranya beras, tepung dan sardin yang dibuang itu sudah dicemari kutu dan tidak sesuai diagihkan kepada orang ramai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!