PSB UUM jadi tempat simpanan tesis Suku Kaum Kensiu
BALING - Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tempat untuk menyimpan senaskhah tesis hasil kajian tentang Orang Asli Etnik Kensiu.
Naib Canselor, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan berkata, ia selaras dengan hasrat universiti untuk menjadi pusat rujukan global di mana Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) akan bertanggungjawab menguruskan naskhah tersebut.
Menurutnya, UUM berbangga dipilih untuk menyimpan tesis itu kerana bahan tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak untuk memperolehnya.
"Bagaimanapun, kita bersyukur PSB berjaya menghubungi dan mendapat persetujuan dari pihak yang bertanggungjawab untuk memiliki dan mengambil bahan tersebut yang disimpan oleh Tok Batin Perkampungan Orang Asli Suku Kaum Kensiu, Razali Kulim," katanya ketika Majlis Penyerahan Tesis Mengenai Suku Kaum Kensiu di Lubuk Legong pada Sabtu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Baling,Datuk Abdul Gafar Yahya dan Ketua Pustakawan, Profesor Dr Che Azlan Taib
Menurutnya, hasil kajian Orang Asli Etnik Kensiu itu telah dijalankan oleh Profesor Nagata yang berasal dari Osaka 40 tahun lalu yang merupakan seorang pengkaji etnik/suku kaum.
“Beliau ketika itu merupakan pensyarah di Universiti Penyelidikan Toronto, Kanada dan selepas melakukan kajian pada tahun 70-an, Profesor Nagata telah pulang ke Jepun dan meninggal dunia pada usia 80-an.
“Pada Disember tahun lalu, Profesor Dr Nobuta Toshihiro yang merupakan seorang pakar kajian di National Museum Atnhology Suika, Osaka, Jepun telah datang ke Kedah untuk menyampaikan hasil kajian/tesis etnik Kensiu kepada Tok Batin Razali mewakili Orang Asli Etnik Kensiu," katanya.
Mohd Foad berkata, warisan bahasa Orang Asli suku itu juga perlu dipelihara berikutan jumlah penuturnya hanya seramai 332 orang sahaja dan berpotensi mengalami kepupusan.
"Inisiatif untuk mendokumentasikan apa yang dicadangkan Tok Batin akan dilakukan UUM dengan kerjasama beberapa pihak sebagai langkah pertama untuk membantu Orang Asli supaya perkataan itu dapat dibukukan dan simpan sebagai warisan.
"Beliau berharap tesis yang disimpan di PSB UUM berupaya menjadi perintis dalam kajian lanjutan mengenai etnik, sejarah, pentafsiran dokumen dan rekod-rekod baharu agar elemen sejarahnya segar bugar meniti zaman, seterusnya menjadi rujukan kepada pelajar, pengkaji dan orang ramai yang berkunjung ke perpustakaan terbabit," ujarnya.
Sementara itu, Tok Batin Razali berkata, masyarakat Orang Asli Kensiu menjadi satu-satunya perkampungan yang wujud di utara Kedah di Baling.
"Rekod di Pejabat Daerah Baling menunjukkan suku Kensiu mula menetap di perkampungan ini pada 1952 dan kini seramai 82 keluarga tinggal di sini,"
"Jadi saya berharap pihak UUM dapat membantu dalam memulihara dan memelihara warisan suku kaum yang masih berada di sini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!