Kementerian Komunikasi sahkan identiti pegawai disalah guna
KULAI - Kementerian Komunikasi mengesahkan identiti beberapa pegawai tertinggi kementerian berkenaan disalah guna oleh pihak tertentu bagi tujuan memperdayakan orang ramai sejak kebelakangan ini.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, pihak berkenaan didapati menggunakan maklumat mengenai pegawai yang diperolehi di laman sesawang kementerian berkenaan.
Katanya, hasil perolehan maklumat tersebut telah dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menjalankan kegiatan penipuan terhadap orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan penyamaran yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.
“Perlu faham satu perkara, jarang bagi sesebuah kementerian menghubungi orang awam melainkan mereka yang mempunyai hubungan kerja.
"Jadi, pesan saya agar selalulah buat semakan terlebih dahulu melalui medium yang ada seperti aplikasi 'semak mule' lebih-lebih lagi apabila diminta buat sebarang bayaran," katanya.
Nie Ching berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Riang Ria Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat DUN Bukit Batu dan Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak, pada Sabtu.
Hadir sama, ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.
Media sebelum ini melaporkan sindiket penipuan yang menggunakan nama Kementerian Komunikasi menghubungi mangsa sejak awal bulan ini dengan mendakwa penama kini disiasat berhubung laporan palsu di media sosial.
Malah, sindiket sama turut meminta mangsa untuk datang ke pejabat bagi menyelesaikan kes yang sedang disiasat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan kegagalan mangsa berbuat demikian menyebabkan mangsa berisiko untuk ditangkap polis.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, kesemua pegawai terbabit telah membuat laporan polis berhubung kegiatan sindiket tersebut yang menyalahguna identiti mereka bagi tujuan penipuan.
Justeru katanya, perkara tersebut diharap dapat disiasat dengan sebaiknya oleh pihak berkuasa.
“Kita turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati kerana hari ini mungkin mereka akan cakap dia dari pegawai saya, esok dia boleh cakap dari PDRM, LHDN ( Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau pihak mahkamah.
“Selain itu, mereka juga dikesan menggunakan taktik ‘masking’ di mana panggilan dibuat akan tertera nombor pejabat biarpun panggilan tidak dibuat dari pejabat terbabit,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!