Budak lelaki 2 tahun lemas jatuh tasik
PARIT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik di Masjid An-Nur, Seri Iskandar dekat sini pada Sabtu.
Difahamkan mangsa, Hadi Zulkanain Muhammad Huzaifah bersama empat ahli keluarganya singgah di masjid terapung berkenaan untuk menunaikan solat Zohor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Ashraf Mat Isa berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.19 petang.
"Maklumat yang diperolehi daripada keluarga berkenaan dan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak tersebut berada bersebelahan dengan tasik berkenaan.
"Berdasarkan maklumat itu, ketua operasi membuat penilaian risiko dan mengarahkan anggota membuat pencarian dengan menggunakan 'whaly boat'," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Ipoh dipanggil bagi membuat selaman di lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Pasukan PPDA menyelam di kawasan tasik sedalam 3.6 meter dan menemui mangsa kira-kira tiga meter dari tebing tasik pada jam 4.25 petang.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muhammad Ashraf berkata, operasi mencari dan menyelamat yang tamat pada jam 5 petang turut dibantu pasukan dari BBP Parit dan polis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!