'Syukur, JPJ sanggup datang hospital ambil cap jari suami'
ALOR SETAR - Sepasang suami isteri bersyukur apabila urusan pertukaran hak milik dua kenderaan mereka selesai selepas pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah hadir ke hospital untuk mengimbas cap jari.
Noor Hasniza Abdul Rani, 47 berkata, dua hari lalu dia hadir ke JPJ Jalan Suka Menanti, di sini untuk menguruskan pertukaran hak milik kenderaan antara dia dan suaminya (Othman Mohamed, 57).
Katanya, dia pada mulanya risau memandangkan suaminya sudah sebulan terlantar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan tidak dapat hadir sendiri ke pejabat JPJ.
"Tetapi Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan apabila hari ini saya menerima kunjungan daripada pegawai-pegawai JPJ yang datang untuk mengimbas cap jari suami," katanya ketika ditemui di HSB di sini, hari ini.
Menurutnya, urusan pertukaran itu dilakukan atas permintaan suaminya yang tidak boleh memandu sejak setahun lalu.
"Selagi tidak selesai, setiap hari suami saya memikirkan hal ini. Terima kasih kepada semua kakitangan JPJ yang memudahkan urusan kami dan memahami situasi suami saya," katanya.
Sementara itu, Siti Norbakyah Jabar, 33, dari Taman Gunung Bayu di sini turut melahirkan perasaan syukur dengan kehadiran pegawai JPJ di rumah mereka.
"Ayah saya (Jabar Fadzil,51) sudah tiga tahun terlantar akibat angin ahmar. Memang kami tidak boleh bawa dia ke mana-mana.
"Jadi apabila urusan pertukaran hak milik kereta ayah ini dipermudahkan oleh JPJ, kami sangat terharu.
"Ini adalah contoh terbaik yang mana semua agensi kerajaan patut contohi.Bagi saya JPJ bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan malah memberi keyakinan kepada pelanggan untuk mendapatkan khidmat mereka," katanya.
Pengarah JPJ Negeri Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama terbaik untuk memudahkan urusan pelanggan terutama yang melibatkan kes tukar hak milik.
Katanya, bagi kes pemilik kenderaan yang uzur, berada di hospital atau berada dalam tahanan penjara, kakitangannya bersedia untuk hadir ke lokasi.
"Ini untuk memudahkan urusan mereka yang menghadapi kekangan, manakala bagi pihak pembeli yang masih sihat, mereka perlu hadir sendiri ke pejabat kita untuk urusan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan khidmat "mobile thumbprint" itu boleh dibuat di bahagian pendaftaran Unit Rekod mana-mana cawangan JPJ selain UTC.
"Wakil pemohon iaitu waris terdekat perlu mengisi borang dan kita akan hubungi mereka secepat mungkin untuk urusan janji temu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!