Hampir 100 maut ekoran banjir kilat di Pakistan

Penduduk berjalan melewati rumah yang musnah akibat hujan lebat di Balochistan, Pakistan, Foto AFP
Penduduk berjalan melewati rumah yang musnah akibat hujan lebat di Balochistan, Pakistan, Foto AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Hampir 100 orang maut dan ramai yang cedera dalam insiden seminggu lepas berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda bahagian barat laut dan barat daya Pakistan.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional (NDMA), hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di Khyber Pakhtunkhwa (KP), Balochistan dan Wilayah Punjab serta Jammu dan Kashmir di bawah pentadbiran Pakistan, lapor Agensi Anadolu.

Setakat ini, 98 maut dan 89 lagi cedera di dalam kawasan ini akibat struktur bangunan yang runtuh, menurut laporan terkini NDMA.

Kira-kira 3,261 kediaman rosak dengan 536 daripadanya musnah sepenuhnya.

Banjir besar dan tanah runtuh juga mengakibatkan kerosakan jalan raya dan jambatan di KP dan Balochistan.

Dalam satu kenyataan berasingan, NDMA mengeluarkan amaran hujan akan berterusan sehingga 22 April dengan potensi untuk banjir di Wilayah Balochistan dan KP.

"Jangkaan jumlah hujan mampu mencetuskan banjir kilat di saluran air beberapa wilayah termasuk Khuzdar, Ziarat, Zhob, Sherani, Muslim Bagh, Quetta, Pishin, Kech, Panjgur, Gwadar, dan Turbat," katanya.

NDMA juga meramalkan hujan lebat dari 25 hingga 29 April dan menggesa orang awam untuk menjauhi infrastruktur yang lemah strukturnya dan tidak memandu atau melalui laluan air. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!