Guardiola tabik anak buah layak ke final Piala FA
PEP Guardiola memuji kemenangan tipis Manchester City ke atas Chelsea sebagai salah satu yang terhebat pernah dilihatnya selepas mereka mempunyai masa pemulihan singkat daripada kekecewaan di pentas Liga Juara-Juara.
City tersingkir daripada pertandingan Eropah menerusi penentuan penalti pada Khamis, apabila Real Madrid menang selepas dua jam aksi memenatkan di Etihad.
Guardiola sebelum ini sudah meluahkan rasa tidak puas hati kerana diminta bermain dalam separuh akhir Piala FA pada Sabtu, tetapi kebanyakan kemarahannya disimpan dan diluahkan selepas kemenangan dramatik 1-0 mereka ke atas Chelsea di Wembley.
Setelah meluahkan amarahnya kepada BBC tentang keputusan untuk memaksa City bermain pada Sabtu dan bukannya hari Ahad, Guardiola sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hati dalam sidang akhbar.
Disebabkan oleh situasi yang 'tidak boleh diterima' itu, Guardiola menyatakan kemenangan tipis ke atas Chelsea sebagai salah satu persembahan terbaik yang pernah dilihatnya.
"Saya perlu ulang semuanya lagi? Dengar, saya sangat gembira untuk bermain dalam separuh akhir Piala FA.
"Saya suka berada dalam suku akhir Liga Juara-Juara tetapi ada perkara (susunan jadual) yang saya tidak faham.
"Anda tidak dapat bayangkan rasa terhantuk kerana terkeluar daripada Liga Juara-Juara seperti cara kami tersingkir.
"Mengapa tidak berikan kami satu hari lagi untuk kesihatan pemain, untuk bermain pada Ahad?
"Coventry, Chelsea dan Manchester United tidak bermain dalam Liga Juara Juara, mereka tidak bermain dalam Liga Europa.
"Untuk penyiar? Ok. Jangan minta saya melakukan lebih lagi selepas ini kerana kami tidak akan melakukannya.
"Tidak boleh diterima untuk bermain hari ini. Kami bermain dalam keadaan yang sangat sukar.
"Kami tidak mengawal permainan dengan baik dan kami kehilangan banyak bola kerana kami letih.
"Beberapa pemain telah melakukan usaha yang luar biasa.
"Apa yang mereka lakukan hari ini adalah salah satu hal terbesar yang pernah saya lihat daripada sekumpulan pemain selepas 120 minit melawan Real pada pertengahan minggu, secara fizikal dan emosi.
"Saya tidak faham bagaimana kami bertahan tapi saya sangat gembira kami layak ke pentas final sekali lagi musim ini," katanya.
Bernardo Silva yang gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan Real menebus kekecewaannya apabila jaringan tunggalnya membawa City ke final Piala FA untuk dua tahun berturut-turut.
Pemain tengah itu meledak gol kemenangan selepas menyambut hantaran lintang Kevin de Bruyne ketika saingan berbaki enam minit.
City masih berpeluang memenangi dua trofi musim ini dan bakal bertem seteru tetangga, Manchester United atau pun pasukan Liga Kejuaraan, Coventry City di perlawanan akhir nanti.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!