Elak isu 3R, hanya untungkan 'parasit', 'ulat politik' - Kor Ming
IPOH - Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berharap pengamal media di negara ini dapat mengelak daripada membuat pelaporan yang mensensasikan perkara 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty).
Beliau berkata, isu sedemikian meskipun meraih perhatian, sekiranya dilaporkan secara berlebihan akan merugikan masyarakat berbilang kaum terutama dalam usaha kerajaan membina semula negara.
"Persepsi rakyat sebenarnya banyak terpengaruh dalam tangan saudara saudari sekalian (media). Jadi marilah kita beristiqamah untuk lenyapkan isu-isu 3R yang merugikan negara.
"Isu 3R apabila dimainkan hanya menguntungkan segelintir parasit dan ulat politik yang bertuankan nafsu dan kuasa, tetapi akhir yang menanggung kerugian adalah rakyat sendiri tanpa mengira kaum dan agama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP bersama Media Perak di Warung Theater @ Cathay di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, media sebagai tonggak demokrasi keempat selepas legislatif, eksekutif dan judisiari memainkan peranan sangat penting sebagai semak dan imbang dalam pembangunan negara.
Katanya, apatah lagi dalam tempoh tiga tahun bermula 2024 hingga 2026 ini merupakan tahun kritikal untuk Malaysia bangkit sebagai sebuah negara disegani antaranya menerusi usaha meningkatkan kedudukan fiskal negara yang memfokuskan sistem saraan baru penjawat awam, pencen dan subsidi bersasar.
Ujarnya, Oktober tahun depan pula menyaksikan Malaysia mengambil alih daripada Laos sebagai Pengerusi ASEAN dan disusuli Tahun Melawat Malaysia pada 2026.
"Ini adalah peluang keemasan kita mengembalikan Malaysia sebagai negara dihormati oleh warga dunia.
"Oleh kerana ketiga-tiga tahun ini membawa makna amat signifikan, kerajaan memerlukan kerjasama semua warga media dalam membentuk persepsi masyarakat.
"Tidak kira aliran media dalam talian (online) atau konvensional, kita perlu sama-sama memainkan peranan pastikan Malaysia bangkit semula," katanya.
Dalam majlis itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM20,000 diberikan kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi pelaksanaan aktiviti dan kebajikan media di negeri ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
@sinarharianonline Elak isu 3R, hanya untungkan 'parasit', 'ulat politik' - Kor Ming #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #3R #NgaKorMing #Media
Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!