Tindakan Zahid boleh cetus krisis Perlembagaan - Hassan
JOHOR BAHRU - Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dilihat mencabar kerajaan malah boleh mencetuskan krisis Perlembagaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan Ahmad Zahid selaku seorang Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang sedang memerintah membawa makna Presiden UMNO itu secara rasminya mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan.
"Persoalannya apa implikasi undang-undang, etika bekerajaan dan prinsip tanggungjawab bersama atau 'collective responsibility' jika si Timbalan Perdana Menteri memisahkan dirinya daripada keputusan kerajaannya sendiri yang bertindak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan?
"Apakah implikasi perundangan dan etika berjemaah dalam Kabinet sekiranya seorang Timbalan Perdana Menteri mengikrarkan sebuah afidavit yang menyokong permohonan seorang bekas Perdana Menteri yang memfailkan satu permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Lembaga Pengampunan?
"Jika mantan Perdana Menteri keenam memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan menamakan beberapa responden terdiri daripada beberapa menteri kerajaan, termasuk Peguam Negara, Pengarah Penjara dan Lembaga Pengampunan.
"Maka ia bermakna si pemohon itu mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan dengan anggapan dan dakwaan serta tuduhan bahawa keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan itu telah silap diputuskan. Ertinya kerajaan telah silap buat keputusan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada 17 April lalu Ahmad Zahid dilaporkan mengikrarkan afidavit itu utnuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, situasi itu berbeza dengan tindakan dilakukan Tun Musa Hitam yang meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana dan Menteri Menteri Dalam Negeri berundur daripada Kabinet kerana tidak bersetuju dengan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1986.
Katanya, keputusan Musa itu dihormati rakyat sehingga ke hari ini kerana berprinsip apabila tidak bersetuju dengan Dr Mahathir.
"Jadi adakah Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan sekarang yang tak bersetuju dengan keputusan kerajaan dalam soal keputusan Lembaga Pengampunan bertindak atas nama kerajaan perlu mencontohi tindakan beretika dan berprinsip oleh Musa," soalnya.
Menurutnya, dalam Perlembagaan Persekutuan jelas disebut bahawa fungsi dan tanggungjawab Jemaah Menteri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri ialah mereka bertindak dan bertanggungjawab secara bersama-sama atau kolektif.
Jelasnya, sebarang keputusan jemaah menteri adalah keputusan bersama yang perlu dipertahankan dan dipertanggungjawabkan secara bersama.
"Tidak boleh wujud prinsip mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Prinsip yang perlu dipakai ialah prinsip rakit yang terikat kemas yang tetap bersama naik ataupun turun di kala air pasang ataupun surut," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!